
Tertuduh, Ramlan Abdul Rashid, 44, didapati bersalah oleh Hakim Evawani Farisyta Mohammad kerana membunuh mangsa antara 9 pagi dan 10 pagi, 23 Feb 2019, di kuarters Hospital Langkawi.
Hakim berkata, tertuduh bertanggungjawab atas kematian kanak-kanak itu termasuk sejarah penderaan fizikal dengan memberinya makanan bercampur cili, selain menjadi orang terakhir dilihat bersamanya.
Katanya, mahkamah berpuas hati pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap keseluruhan kes.
“Walaupun pakar patologi forensik tidak dapat menentukan punca kematian mangsa kerana hanya tengkorak dan dua batang gigi yang ditemui, bukti keadaan yang dikemukakan di mahkamah adalah kukuh dan jelas menunjukkan tertuduh orang terakhir bersama mangsa sebelum ditemui meninggal dunia,” katanya menurut Harian Metro.
Evawani berkata, mahkamah meneliti keseluruhan fakta kes terutamanya mangsa adalah seorang kanak-kanak kecil yang tidak berdosa diletakkan dalam jagaan tertuduh.
“Mahkamah turut berpuas hati, kematian mangsa akibat kecederaan kerana dipukul dan didera oleh tertuduh secara berpanjangan. Tertuduh juga tidak mempunyai perikemanusiaan hingga sanggup membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan hutan di Gunung Raya, Langkawi tanpa diuruskan secara sepatutnya berdasarkan tuntutan agama.”
Katanya, keterangan ikut keadaan yang dikemukakan di mahkamah melimpah ruah dan jelas menunjukkan tindakan sengaja tertuduh terhadap kanak-kanak itu sehingga membawa maut.
Berdasarkan fakta kes, mangsa ditinggalkan dalam jagaan tertuduh oleh ibunya yang juga saksi pendakwaan ke-24 (SP24) yang berulang-alik bekerja di sebuah kedai makan dalam jagaan tertuduh selama dua bulan.
Ibu mangsa membuat laporan polis selepas gagal menemukan anak perempuannya ketika melawat rumah tertuduh pada Februari 2019.
Tertuduh memberi alasan mangsa diserahkan kepada orang lain untuk dijaga, namun enggan memberitahu siapa atau di mana anaknya menetap.
Ketika soal siasat polis, tertuduh memandu arah anggota polis dan pakar forensik ke kawasan hutan di Gunung Raya sebelum menemukan tengkorak serta dua batang gigi milik kanak-kanak itu.
Isteri tertuduh yang juga seorang jururawat memberi keterangan bahawa dia mendengar tangisan kanak-kanak itu pada malam 23 Feb 2019, namun tangisan itu tiba-tiba terhenti tidak lama kemudian.
Apabila dia masuk dalam bilik, didapati kanak-kanak itu terbaring kaku di atas tikar dengan tidak berpakaian manakala tangan dan kakinya keras.
Dia juga perasan terdapat kesan lecur akibat puntung rokok pada paha kanak-kanak itu serta lebam di kedua-dua belah kaki.
Isteri tertuduh menggambarkan keadaan mangsa seperti tidak bernyawa, dan apabila ditanya kepada suaminya apa yang berlaku, lelaki itu mendakwa kanak-kanak itu mengalami sawan.