Cuti paterniti, tahniah buat rakyat Malaysia

Cuti paterniti, tahniah buat rakyat Malaysia

Meskipun Malaysia baru memulakan langkah untuk memasukkan cuti paterniti ke dalam pemindaan Akta Kerja 1955, ini merupakan usaha yang harus dipuji.

Tahniah diucapkan buat kerajaan yang membentangkan Belanjawan 2020 pada Jumaat lepas. Dapat dilihat, bajet yang dibentang oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng tahun ini lebih baik dari yang sebelumnya, dan ini merupakan perkembangan positif buat kerajaan. Malahan, menambah keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Antara isu yang menjadi bual bicara pascapembentangan Belanjawan 2020 ialah berkaitan cuti bersalin yang meningkat daripada 60 hari ke 90 hari. Hal ini perlu dipuji meskipun ia akan berkuat kuasa pada tahun 2021. Kerana ini menunjukkan bahawa Kerajaan menitikberatkan tahap kesihatan wanita selepas melahirkan anak.

Bagaimanapun, cuti paterniti buat kaum ayah masih tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Untuk berada di samping zuriat yang baru dilahirkan pastinya menjadi impian setiap ayah. Ayah sudah tentu mahu mengazan dan mengiqamatkan anak yang baru lahir di dunia. Namun begitu, impian ini tidak mampu dikecapi oleh ayah yang berada dalam sektor swasta. Hal ini kerana Akta Kerja sedia ada tidak memperuntukkan cuti paterniti untuk mereka.

Hal ini berbeza buat mereka yang bekerja dalam sektor kerajaan. Akta Kerja sedia ada memperuntukkan cuti sebanyak tujuh hari untuk menyambut kelahiran anak dan menemani isteri.

Namun begitu, ada sinar harapan buat golongan bapa yang menjadi kakitangan swasta. Kerajaan ada mengkhabarkan berita gembira untuk ‘menghadiahkan’ tiga hari cuti paterniti buat kaum bapa. Menurut timbalan menteri sumber manusia, usul ini akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dibawa ke parlimen dengan segera.

Bagaimanapun, perkara ini ditentang oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) kerana menurut mereka, cuti paterniti boleh menyebabkan majikan mengalami kerugian sebanyak RM150 juta setahun.

Lantaran itu, timbalan perdana menteri memberi jaminan kerajaan akan mempertimbangkan isu ini dengan sebaiknya sebelum membuat keputusan, dan akan melibatkan semua pihak yang terlibat untuk turut bersama dalam perbincangan.

Kos kerugian yang perlu ditanggung oleh syarikat merupakan impak yang kecil berbanding kesihatan yang sejahtera buat pekerja dan keluarga. Jumlah kerugian RM150 juta yang didakwa oleh MEF ini hanya melibatkan 0.06% daripada kos keseluruhan gaji sebanyak RM246 bilion (berdasarkan banci ekonomi pada tahun 2015).

Selain itu, data Jabatan Statistik Malaysia menunjukkan kadar kelahiran semakin menurun. Kadar kelahiran pada 2017 adalah 1.9 bayi, yang berada di bawah tahap penggantian sebanyak 2.1.

Daripada statistik ini, boleh disimpulkan, kadar kelahiran adalah rendah, yang bermaksud jumlah pekerja yang mengambil cuti paterniti juga akan semakin menurun. Ini bermaksud risiko kerugian yang perlu ditanggung syarikat juga adalah sangat rendah. Justeru, dakwaan mengatakan syarikat akan menanggung kerugian besar adalah tidak benar.

Mengharungi saat genting

Proses membesarkan anak merupakan proses bersama ibu bapa. Pemberian cuti paterniti ini secara tidak langsung dapat memudahkan urusan para suami dalam menguruskan isteri dan anak yang baru lahir. Ini termasuklah proses menguruskan bil hospital, pendaftaran nama anak, dan pelbagai urusan lain. Ia juga merupakan transisi yang mencabar terutamnya buat ibu bapa yang pertama kali menimang cahaya mata pertama. Anak-anak yang mengalami komplikasi seperti kelahiran pramatang dan masalah kuning akan memerlukan penjagaan yang lebih lama dan teliti di hospital. Ini pastinya menuntut komitmen yang tinggi bukan sahaja dari para ibu, bahkan para bapa.

Pascakelahiran merupakan saat genting dalam kehidupan seorang isteri kerana emosi isteri mudah terjejas dan tidak stabil. Ini akan meningkatkan lagi risiko para ibu mendapat kemurungan selepas bersalin dan risiko ini lebih tinggi buat ibu yang mengalami komplikasi semasa kelahiran.

Meskipun kemurungan selepas bersalin ini memberi kesan di kalangan ibu, golongan ayah juga tidak terkecuali. Menurut kajian diterbitkan dalam Journal of the American Medical Association, satu daripada 10 lelaki mengalami masalah kemurungan selepas bersalin.

Pemberian cuti paterniti ini akan membantu pasangan mengharungi fasa genting ini. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan risiko kemurungan selepas bersalin.

Cuti paterniti untuk bapa ini bukan perkara asing dalam negara luar. Singapura dan Filipina memperuntukkan 14 hari cuti paterniti kepada suami. Manakala di Finland, golongan bapa diperuntukkan cuti paterniti berbayar sebanyak lapan hari.

Justeru, langkah awal yang dicadangkan oleh Kementerian Sumber Manusia ini merupakan langkah yang positif dalam membentuk Malaysia ke arah negara maju.

Meskipun Malaysia baru memulakan langkah untuk memasukkan cuti paterniti ke dalam pemindaan Akta Kerja 1955, ini merupakan usaha yang harus dipuji. Usaha ini membuktikan bahawa kerajaan mengambil berat akan kebajikan rakyat.

Ajda Nuha Ahmad Daniel adalah pembaca FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.