Semak balik cuti ibu bersalin, MMA beritahu JPA

Semak balik cuti ibu bersalin, MMA beritahu JPA

Persatuan Perubatan Malaysia menyuarakan dwistandard melibatkan tempoh cuti itu antara sektor awam dan swasta.

Wad hospital doctor and patience and nurses
JPA berkata, pekeliling sedia ada memberikan kuasa budi bicara kepada pejabat kesihatan daerah memberikan cuti bersalin antara 60 hingga 90 hari. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta menyemak perintah am berkait cuti bersalin bagi penjawat awam, di mana ketika ini ditetapkan antara 60 hingga 90 hari, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden Dr Azizan Abdul Aziz, berkata semakan itu diperlukan mengambil kira pindaan Akta Pekerjaan 1955 tahun lalu memperuntuk 98 hari cuti kepada ibu bersalin.

“Malangnya, ia menimbulkan dwistandard antara sektor swasta dan awam. Ketika ini, penjawat awam mungkin mendapat kurang 38 hari cuti bersalin berbanding di sektor swasta.

“Tempoh cuti bersalin lebih pendek menjejaskan masa pemulihan penting diperlukan ibu dan memberi kesan kepada hubungan kritikal ibu dan bayi, di mana penting bagi perkembangan anak dan kesihatan mental ibu,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini, tercetus isu melibatkan Pejabat Kesihatan Hulu Langat yang hanya membenarkan cuti bersalin 60 hari sahaja kepada tujuh pegawai perubatannya. Bagaimanapun, Ketua Pengarah JPA Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, tindakan itu tidak melanggar peraturan.

Wan Ahmad berkata, pekeliling sedia ada memberi kuasa budi bicara kepada pejabat kesihatan daerah memberikan doktor antara 60 hingga 90 hari cuti bersalin.

Susulan itu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata perkara itu selesai dengan pemberian penuh 90 hari cuti bersalin kepada doktor terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.