
Irene Xavier daripada Persatuan Sahabat Wanita Selangor berkata, cuti bersalin ialah hak asasi manusia yang asas dan tidak boleh dirunding, manakala menurut Abinaya Mohan daripada Women’s Aid Organisation (WAO), cuti bersalin selama 98 hari adalah selaras dengan piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Mereka mengulas mengenai pindaan kepada Akta Kerja yang bertujuan untuk menjaga kebajikan pekerja dan menyelaraskan peraturan tempatan dengan Konvensyen ILO.
Pindaan itu pada mulanya ditetap untuk dilaksanakan pada 1 Sept tahun ini, tetapi kemudian ditangguhkan kepada 1 Jan tahun depan.
Semalam, sekumpulan persatuan mewakili peruncit menggesa agar tempoh penangguhan pindaan itu dilanjutkan, menzahirkan kebimbangan bahawa penguatkuasaan perubahan itu akan membawa kesan negatif kepada industri runcit, yang menurut mereka baru sahaja pulih berikutan wabak Covid-19.
Antara lain, kumpulan itu berkata, pemberian cuti bersalin selama 98 hari akan mengganggu kecekapan kerja serta menjejaskan kebolehpasaran wanita dalam tenaga kerja.
Mereka berkata, penubuhan lebih banyak pusat jagaan kanak-kanak ialah penyelesaian yang lebih berkesan.
Xavier membidas hujah kumpulan itu yang menurutnya “ketinggalan zaman”.
Beliau berkata, mempunyai lebih banyak pusat jagaan adalah tidak relevan jika terus wujud kekurangan kemudahan mampu milik untuk wanita berpendapatan rendah.
Abinaya berkata, penambahan hari cuti bersalin tidak akan menjejaskan wanita dalam tenaga kerja mahupun kebolehpasaran mereka jika majikan bersedia menyokong mereka.
Sekiranya kerajaan bersetuju untuk menangguhkan lagi penguatkuasaan pindaan itu, katanya, kumpulan hak asasi buruh dan wanita mesti disertakan dalam sebarang dialog atau sesi penglibatan Putrajaya dengan kumpulan runcit dan perniagaan.