Idris jumpa Tengku Zafrul, minta pertimbang kemudahan cuti bersalin berelaun guru Kafa

Idris jumpa Tengku Zafrul, minta pertimbang kemudahan cuti bersalin berelaun guru Kafa

Menteri agama itu berkata beliau telah bertemu dengan Tengku Zafrul Aziz bagi memaklumkan hasrat dan rayuan tersebut untuk pertimbangan selanjutnya.

Idris Ahmad berkata rayuan kepada Kementerian Kewangan itu adalah sebagai langkah membela nasib guru Kafa dan membantu kumpulan tersebut dalam apa jua cara.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad berkata beliau sendiri telah berbincang dengan menteri kewangan berhubung rayuan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Idris berkata beliau telah bertemu dengan Tengku Zafrul Aziz bagi memaklumkan hasrat dan rayuan itu untuk pertimbangan selanjutnya.

“Kita buat rayuan kepada Kementerian Kewangan. Insya-Allah kita cuba atasi kerana semua itu kena ikut peraturan. Bukan kita tidak mahu jaga guru Kafa,” katanya dalam sidang media semalam, menurut Bernama.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kafa seperti yang diumumkan Januari lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff yang menjelaskan keputusan dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.

Semalam, seorang ADUN menyifatkan keputusan kementerian itu sebagai langkah ke belakang.

ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata pekerja wanita yang bersalin tanpa mengira status perjawatan tidak wajar didiskriminasi dan hak mereka dijamin di bawah Akta Kerja 1955.

Idris berkata rayuan kepada MOF itu juga sebagai langkah membela nasib guru Kafa dan membantu kumpulan tersebut dalam apa jua cara.

Dalam perkembangan lain, Idris berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu sensitif berkaitan penghinaan terhadap agama Islam dan pihaknya mendapat kerjasama baik daripada polis untuk menangkap mereka yang terlibat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.