Pahang mahu warta 8,571 hektar rizab Orang Asli

Pahang mahu warta 8,571 hektar rizab Orang Asli

Ia tambahan kepada 7,156 hektar tanah yang telah diwartakan, selain 8,958 hektar lagi yang sudah mendapat kelulusan.

Wan Rosdy Wan Ismail.
BERA:
Kerajaan Pahang dalam proses mewartakan tanah seluas 8,571 hektar sebagai Tanah Rizab Orang Asli, kata Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

Jumlah itu ialah tambahan kepada 7,156 hektar tanah yang telah diwartakan setakat ini selain 8,958 hektar tanah yang sudah mendapat kelulusan majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Usaha ini salah satu bantuan untuk kebajikan masyarakat Orang Asli, terutamanya di Pahang yang mempunyai jumlah Orang Asli paling ramai di Semenanjung Malaysia.

“Di Pahang, jumlah Orang Asli ialah seramai 89,375 orang atau 45.1 peratus daripada jumlah keseluruhan golongan itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Orang Asli di Pos Iskandar hari ini.

Pada program itu, Wan Rosdy juga mengumumkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada penduduk di Pos Iskandar yang terdiri daripada suku kaum Semelai.

Wan Rosdy berkata kebajikan masyarakat Orang Asli terus menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan termasuk dalam kemudahan prasarana.

Sebagai contoh, Wan Rosdy merujuk kepada pembinaan Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) bagi penempatan masyarakat Orang Asli dengan tujuh daripadanya terletak di Pahang termasuk Pos Iskandar.

“RPS juga membolehkan masyarakat Orang Asli dihimpunkan di satu kawasan yang lebih lengkap dari segi infrastruktur selain membolehkan mereka terlibat dalam kegiatan ekonomi seperti pertanian kelapa sawit atau getah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.