Penjaja, peniaga kecil akan terus diperkasa, kata PM

Penjaja, peniaga kecil akan terus diperkasa, kata PM

Anwar Ibrahim berkata mereka merupakan wajah sebenar semangat niaga negara ambil kira PMKS sumbang RM652 bilion kepada KDNK tahun lalu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, berkata penjaja dan peniaga kecil berada di barisan hadapan demi memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan.
PETALING JAYA:
Kerajaan akan terus memperkasakan komuniti penjaja dan peniaga kecil yang disifatkan wajah sebenar semangat niaga negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, ia termasuk pemerkasaan melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, pembiayaan serta pembangunan kapasiti di bawah agenda Malaysia Madani.

Beliau berkata, kekuatan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah dibuktikan apabila menyumbang RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu dan menyediakan 8.1 juta peluang pekerjaan.

“Mereka inilah yang setiap hari berada di barisan hadapan, dari pasar pagi hingga penjaja malam demi memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan. Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan, Temerloh. Teks ucapan dibacakan Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail.

Anwar berkata, kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50% nilai KDNK menjelang 2030, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

Beliau berkata, langkah itu turut diperincikan menerusi Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 yang digubal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) sebagai panduan utama memperkukuh komuniti tersebut.

“Namun dasar komprehensif atas kertas perlu disusuli dengan tindakan segera di lapangan agar manfaatnya dapat dirasai golongan sasar,” katanya.

Beliau berkata dalam konteks itu, KUSKOP berperanan penting sebagai peneraju utama dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar diterjemahkan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil terus berkembang.

Beliau berkata, antara inisiatif diberi tumpuan termasuk Program Jajahan Rakyat oleh Kuskop dengan kerjasama Bank Rakyat, yang memperluas akses digital dan mempercepat transformasi tanpa tunai dalam kalangan peniaga kecil.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan urus niaga, malah membantu peniaga kecil menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital secara inklusif.

“Program ini bukan sekadar menyediakan kemudahan kewangan, tetapi turut mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif dan berdaya saing,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.