
Portal berita OneIndia memetik NIA sebagai berkata, sebahagian besar daripada 127 individu yang ditahan di kawasan berlainan di India dan dikaitkan dengan IS menjadi radikal disebabkan video yang menampilkan Naik.
Ketua Pengarah NIA, Alok Mitta dipetik sebagai berkata, itu sebabnya ada kes dibuka terhadap Naik dan pendakwah lain.
Katanya, seorang daripada individu ditahan itu – Nashidul Hamzafar, pelajar jurusan pengurusan berusia 26 tahun dari Wayanad, Kerala – menjelaskan peranan dimainkan pendakwah seperti Naik yang mendorongnya menyertai IS.
Pada awalnya, Nashidul tidak tertarik kepada ideologi IS kerana dia mendapati mereka terlalu ganas, tetapi persepsinya berubah selepas mendengar satu klip audio dihantar kawannya.
“Saya mula mendengar audio Zakir Naik dan Norman Alikhan, antara lain. Ceramah mereka memberi inspirasi kepada saya dan mengubah pendekatan saya terhadap kehidupan,” katanya dipetik OneIndia.
Bercakap pada satu persidangan pasukan anti-keganasan, Mitta berkata, kebanyakan individu ditahan itu berasal dari Tamil Nadu, manakala yang lain datang dari Uttar Pradesh, Kerala, Telangana, Maharashtra, Karnataka dan Delhi.
Naik dikaitkan dengan unsur radikal beberapa kali, tetapi beliau menafikan ada kaitan dengan insiden itu dan India giat memburunya.
Ada banyak gesaan untuk menghantar Naik pulang ke India bagi berdepan pertuduhan berkaitan keganasan dan pengubahan wang.
Ogos lalu, pihak berkuasa mengenakan larangan ke atas Naik untuk memberi ceramah agama di Malaysia.