‘Hantaran palsu’, Saifuddin sangkal dakwaan Zakir Naik dapat kerakyatan

‘Hantaran palsu’, Saifuddin sangkal dakwaan Zakir Naik dapat kerakyatan

Saifuddin Nasution Ismail jelas hantaran tular itu dibuat enam tahun lepas.

Zakir Naik sebelum ini dilarang berceramah di Malaysia selepas membuat kenyataan mencetuskan kontroversi di Kota Bharu pada 2019. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyangkal dakwaan di media sosial bahawa pendakwah kontroversi Zakir Naik telah diberikan kewarganegaraan Malaysia.

“Ia hantaran palsu yang dibuat lebih enam tahun lepas,” kata Saifuddin kepada FMT, merujuk gambar Zakir menerima anugerah ‘Pahlawan Perkasa daripada ketua Perkasa ketika itu, Ibrahim Ali.

Ketika dihubungi, Ibrahim menjelaskan kepada FMT, gambar itu diambil pada 2017 apabila Perkasa memberi Zakir anugerah atas sumbangannya kepada Islam, tiada kaitan dengan dakwaan bahawa pendakwah itu diberikan kewarganegaraan Malaysia.

“Ini fitnah semata-mata, bertujuan kelirukan rakyat Malaysia dan provokasi atas dasar politik,” kata Ibrahim yang mengasaskan kumpulan hak Melayu itu pada 2008.

“Sebagaimana yang kita tahu, Zakir pemastautin tetap. Beliau beritahu saya, beliau tak mahu kewarganegaraan (Malaysia), dan sedang tunggu masa sesuai untuk segalanya selesai sebelum pulang ke India.”

Pendakwah kelahiran Mumbai itu diburu pihak berkuasa India sejak 2016 atas dakwaan pengubahan wang haram dan hasutan ekstremisme menerusi ucapan kebencian.

Ogos lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, selagi Zakir tidak menimbulkan masalah, beliau tidak mempertimbangkan permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah itu.

Zakir mendapat status pemastautin tetap pada 2015 ketika Barisan Nasional (BN) mentadbir negara.

Pada 2017, media India melaporkan Zakir memohon kewarganegaraan Malaysia selepas mendapat status pemastautin tetap.

Memetik sumber Agensi Siasatan Kebangsaan India, The Times of India turut melaporkan bahawa keputusan masih belum dibuat mengenai permohonan kewarganegaraan itu.

Zakir sebelum ini dilarang berceramah di Malaysia selepas membuat kenyataan mencetuskan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di Malaysia dalam ceramah di Kota Bharu pada 2019.

Bagaimanapun, pada 20 Feb lepas, Saifuddin berkata, pada masa ini, tiada arahan menghalang pendakwah itu daripada berceramah secara terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.