
Munira Mustaffa, pengarah eksekutif Chasseur Group, merujuk penahanan 36 pekerja Bangladesh baru-baru ini kerana penglibatan mereka dalam gerakan militan radikal yang dikaitkan dengan IS.
Munira berkata walaupun Jakim mungkin mempunyai pengalaman luas dalam mempromosikan Islam yang sederhana, ia mesti mempertimbangkan faktor sosio-politik lain yang mendorong pekerja asing ke arah radikalisme.
“Masih terdapat risiko bahawa kaunseling agama yang berniat baik mungkin tidak menangani dengan betul punca individu menyertai kumpulan radikal.
“Campur tangan yang berkesan memerlukan pemahaman konteks politik khusus dan sebabnya, yang melangkaui pendekatan kaunseling agama secara tradisional,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata ketegangan politik di Bangladesh berkemungkinan menjadi kuasa penggerak utama di sebalik rangkaian berkaitan IS ini, yang kelihatan lebih tertumpu kepada hal ehwal dalaman Bangladesh berbanding mewujudkan IS di Malaysia.
Ketidakstabilan politik di Bangladesh sejak beberapa tahun kebelakangan ini secara tidak langsung mewujudkan persekitaran yang membolehkan kumpulan pelampau berkembang maju, katanya. “Ia adalah corak biasa yang kita lihat selepas peralihan politik secara tiba-tiba.”
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar berkata Jakim sedang membangunkan modul khusus untuk membendung penyebaran ideologi radikal dalam kalangan pekerja asing di negara ini.
Na’im berkata Jakim akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis dalam inisiatif terbabit, dengan tujuan membantu mereka ‘kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dan sederhana’.
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata siasatan mendapati warga asing itu mengambil anggota baharu IS daripada sektor buruh Malaysia, dari tempat seperti kilang, stesen minyak dan tapak pembinaan.
Beliau berkata mereka juga merekrut melalui platform media sosial seperti Facebook, WhatsApp, dan Telegram, dengan 150 hingga 200 ahli dalam kumpulan WhatsApp pergerakan itu.
Tiga daripada 36 yang dihantar pulang berdepan penahanan oleh anggota unit antikeganasan Bangladesh sebaik tiba di negara asal mereka.