Zakir Naik tuntut RM10 juta daripada portal, wartawan berhubung dakwaan HIV

Zakir Naik tuntut RM10 juta daripada portal, wartawan berhubung dakwaan HIV

Pendakwah itu berkata laporan itu telah mencemarkan imejnya dan menyebabkan beliau menjadi bahan ejekan.

Zakir Naik
Bulan lalu, Dr Zakir Naik menafikan dakwaan bahawa beliau telah disahkan menghidap AIDS. (Gambar EPA Images)
PETALING JAYA:
Dr Zakir Naik menuntut ganti rugi sebanyak RM10 juta daripada sebuah portal berita berpangkalan di India dan wartawannya berhubung laporan yang mendakwa beliau mungkin menghidap HIV dan AIDS.

Dalam surat tuntutan (LoD), Naik berkata laporan berkenaan yang disifatkannya sebagai fitnah telah mencemarkan imej dan reputasinya.

Beliau berkata laporan dimuat naik ke YouTube pada 13 Sept lalu turut memberi gambaran seolah-olah beliau dijangkiti HIV atau terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang menyebabkan jangkitan tersebut.

Pendakwah kontroversi itu turut mendakwa laporan bertajuk “Watch Now: Controversial Preacher Zakir Naik Hospitalised, Facing Serious Health Issues” (Tonton Sekarang: Pendakwah Kontroversi Zakir Naik Dimmasukkan ke Hospital, Berdepan Masalah Kesihatan Serius) telah menyebabkan beliau menjadi bahan ejekan.

Surat tuntutan dikeluarkan firma guaman Akberdin & Co itu ditujukan kepada CNN News 18 INDIA dan Manoj Gupta.

Menurut Naik, laporan itu turut memberi gambaran bahawa beliau telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Lembah Klang, sekali gus mencemarkan reputasinya sebagai seorang pendakwah.

Selain menuntut ganti rugi, beliau juga menuntut permohonan maaf secara terbuka serta penarikan balik dan pemadaman semua kenyataan fitnah yang diterbitkan.

Surat tuntutan itu memberi tempoh 48 jam kepada CNN News 18 INDIA dan Manoj Gupta untuk mengemukakan permohonan maaf tanpa syarat serta tujuh hari untuk membayar ganti rugi itu.
Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan diambil bagi mendapatkan injunksi, pampasan, faedah dan kos.

Tuntutan itu dibuat sebulan selepas pendakwah kontroversi itu menafikan dakwaan bahawa beliau telah disahkan menghidap AIDS, bertentangan dengan khabar angin yang tular di media sosial.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘karut’ dan ‘berita palsu’.

Naik turut mengecam dakwaan tersebut sebagai ‘ucapan kebencian’ disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.