
“Negara ini bukan hanya untuk orang Melayu dan Islam. Ia berbilang kaum dan agama. Kita tidak boleh cakap seolah-olah Malaysia hanya mewakili orang Melayu dan Islam,” kata Nazri kepada FMT.
Beliau ditanya tentang hala tuju politik negara dan apa yang rakyat boleh jangkakan ketika pengaruh politik Islam yang semakin meningkat.
Nazri berkata rakyat Sabah dan Sarawak memiliki jati diri Malaysia yang lebih kuat.
“Di Sabah dan Sarawak, mereka mentadbir negeri sebagai rakyat Malaysia. Mereka warga Malaysia tanpa mengira latar belakang dan boleh hidup bersama. Kita patut contohi mereka,” kata bekas menteri Umno itu.
Sebaliknya, Nazri berkata ramai orang Melayu di Semenanjung cenderung mengutamakan kaum berbanding kewarganegaraan. Mereka gelar diri rakyat Malaysia apabila sesuai dari segi politik, terutama semasa pilihan raya untuk meraih undi bukan Melayu.
Orang sedemikian “rakyat Malaysia yang tidak bersungguh-sungguh,” katanya.
“Saya tidak bersetuju negara ini negara Melayu. Nicol David dan Lee Chong Wei (atlet sukan) tidak bersaing di peringkat antarabangsa sebagai Cina atau India. Mereka bermain untuk Malaysia,” katanya.

Nazri Aziz kata ramai orang Melayu gelar diri rakyat Malaysia apabila sesuai dari segi politik, terutama ketika pilihan raya.
‘Siapa Zakir Naik untuk ajar saya?’
Nazri turut mengkritik keberadaan berterusan penceramah India yang dikehendaki, Zakir Naik, di Malaysia.
“Dia ada masalah di India dan datang ke sini. Dia ingin ajar kita bagaimana menjadi Muslim dan bagaimana kita harus berinteraksi dengan orang bukan Islam.
“Tak perlu ajar saya. Saya lahir di sini. Hakikatnya kita berbilang kaum dan agama sejak dulu lagi,” katanya, dan menambah beliau bergaul dengan baik dengan rakyat bukan Islam.
Kementerian Dalam Negeri pada 21 Feb lalu mengesahkan tiada lagi larangan berceramah dikenakan ke atas Naik.
Menteri Saifuddin Nasution Ismail dipetik berkata larangan dibuat pada 2019 dan sekarang tiada lagi larangan.
Naik mengelak pihak berkuasa India sejak 2016, apabila fail dibuka terhadapnya kerana didakwa membuat ucapan kebencian dan pengubahan wang haram, selepas lima militan melancarkan serangan di sebuah kedai roti di Dhaka, Bangladesh yang menyaksikan 29 orang terbunuh.
Pada Jun 2019, Kementerian Hal Ehwal luar Negeri India berkata kerajaannya membuat permintaan rasmi kepada Malaysia untuk ekstradisi Naik, dan akan mengambil tindakan lanjut mengenai perkara itu dengan Putrajaya.
Pada bulan sama, mahkamah di India memerintahkan Naik hadir untuk satu kes.
Naik dipercayai menetap di Putrajaya selepas diberikan suaka pada 2018.