Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM 2019), sebuah program realiti pertandingan komedi yang paling dinanti-nantikan oleh peminat lawak tegar di rantau ini bakal membuka tirainya secara rasmi pada setiap hari Jumaat mulai 1 November, jam 9.00 malam selama 11 minggu berturut-turut.

Antara barisan peserta yang akan menjayakan MLM 2019 terdiri daripada dua peserta solo dari Indonesia, Rahmet dan Popon, serta sembilan peserta berkumpulan iaitu Cali dari Brunei, Bocey, Zero, Rare, Puteh, Stone, Jambus, Rojak dan juga juara program “Muzikal Lawak Superstar” musim pertama, J-Born!
Menariknya, edisi MLM kali ini membawakan satu episod istimewa, ‘Maharaja Lawak Mega 2019 – “Kerusi Panas” atau “Hot Seat” yang akan bersiaran seminggu lebih awal (25 Oktober 2019, Jumaat, 9.00 malam), secara langsung di saluran Astro Warna dan Warna HD yang mana akan menyaksikan 12 peserta lawak berentap untuk meraih kedudukan di pentas utama MLM 2019.
“MLM 2019 – Kerusi Panas” ini akan dihoskan oleh pengacara sensasi, Nabil Ahmad, dan tiga nama besar dalam industri bakal terlibat untuk mengadili persembahan peserta.
Mereka adalah pengarah tersohor, Sabri Yunus, pelakon wanita popular, Fasha Sandha dan produser filem, Mejar (K) David Teo.
Sebelum ini, gandingan duo Mr. Os & Abon – OSBON (2011), Johan & Zizan – JOZAN (2012), Jep, Shuib & Rahim – SEPAHTU (2013), Atu, Syaiful & Sharif – ZERO (2014), Achey, Abam dan Fad – BOCEY (2016 & 2017), dan Sharol & Ajak – SHIRO (2018) juga pernah dinobatkan sebagai juara “Maharaja Lawak / Maharaja Lawak Mega” untuk musim-musim yang terdahulu.
Mula bersiaran pada 2011, Maharaja Lawak Mega (MLM) menggabungkan pelawak-pelawak dan pelakon komedi profesional terbaik Nusantara (Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei), untuksama-sama berentap di atas pentas besar bagi merebut takhta “Juara” bagi musim tersebut.
Barisan peserta ini perlu membuat persembahan komedi berdasarkan tema mingguan yang diberi.
Pada masa yang sama, peserta terbaik pada setiap minggu akan dianugerahkan gelaran “Man of the Match” dan membawa pulang trofi kemenangan.
Buat julung kalinya, MLM 2019 mengalu-alukan kedatangan peserta dari Brunei, Cali yang dianggotai dua orang pelawak, Khai dan Tony.
Cukup sinonim dengan jenama Maharaja Lawak Mega, pengacara tersohor dan versatil tanah air, AC Mizal buat sekian kalinya diberi tanggungjawab untuk menggalas tugas hos MLM 2019.
Ini merupakan penampilan kelapan beliau sebagai pengemudi utama program ini.
Juara MLM 2019 akan membawa pulang RM500,000 dan sebuah trofi, naib juara RM250,000 dan sebuah trofi, tempat ketiga RM150,000 dan sebuah trofi tempat keempat RM50,000 dan sebuah trofi manakala tempat kelima RM15,000 dan sebuah trofi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]