Hormati privasi rakyat Malaysia ditahan di Arab Saudi

Hormati privasi rakyat Malaysia ditahan di Arab Saudi

Kementerian Luar berkata bukan masanya untuk media berspekulasi atau bergosip.

wisma putra
Kementerian Luar berkata pihaknya menegakkan prinsip kerahsiaan dan maruah untuk semua rakyat Malaysia di luar negara.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Luar hari ini mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Arab Saudi.

Dalam kenyataan, kementerian itu memberi jaminan bahawa bantuan konsular telah diberikan kepada individu tersebut dan usaha berterusan dilakukan bagi memastikan perundangan tempatan melindungi haknya.

“Kementerian akan menyelaras rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk menangani situasi itu dan komited untuk memberikan sokongan yang sewajarnya selain menegakkan prinsip kerahsiaan dan maruah untuk semua rakyat Malaysia di luar negara.

“Kami menggesa media supaya menghormati privasi individu dan keluarga mereka semasa masa sukar ini. Perkara sebegini sesuatu yang sensitif dan tidak boleh dianggap sebagai peluang untuk spekulasi atau gosip,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sumber memaklumkan seorang pelawak popular yang ditahan di Jeddah, Arab Saudi pada Oktober tahun lalu atas kesalahan memiliki dadah, kini sedang menjalani hukuman penjara selama enam bulan di negara itu.

Menurut sumber itu, hukuman tersebut dijatuhkan ketika perbicaraan pelawak terbabit pada November tahun lepas dan berdasarkan penghakiman, tempoh hukuman itu dijangka selesai April ini.

Difahamkan, pelawak tersebut mungkin dibebaskan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan sekiranya berkelakuan baik.

Sebelum ini, dilaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh mengesahkan penahanan seorang rakyat Malaysia di Jeddah, selepas disyaki terbabit memiliki dadah jenis ganja, namun tidak mendedahkan identitinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.