Lawak PRK peluang uji kaji

Lawak PRK peluang uji kaji

Alasan Tuan Ibrahim bahawa pengundi Ayer Kuning perlu merasa diwakili PAS menggelikan hati.

hishamuddin-aun

Pernahkah Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat ketawa ketika berhujah di pentas ceramah? Harus tidak pernah dan kalau ada pun, mungkin terlalu jarang kerana tidak seperti Menteri Besar Kedah Sanusi Nor yang ketawa dahulu sebelum lawak disampaikannya, orang nombor dua PAS itu mengekalkan riak wajah seriusnya.

Namun, kelebihan beliau ialah boleh berlawak dengan muka bersahaja hingga kerap bahan jenakanya lambat sedikit untuk sampai ke khalayak untuk mereka hanya ketawa lama kemudian.

Siapa boleh lupa ‘lawak’ ciptaannya ketika memperkenalkan calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail bagi PRK Sungai Bakap pada 6 Julai sebagai memiliki piawaian ISO 14001 — satu standard dalam teknologi perkilangan — tetapi tiada yang ketawa serta-merta dan hanya disedari apabila Barisan Nasional (BN) memainkannya.

Begitu juga jenakanya mengenai seorang pakcik yang menolak motosikal kerana kehabisan minyak. “Dulu buh (minyak) RM5 sampai rumah, sekarang buh RM5 tak sampai rumah. Inilah akibat dia (keputusan kerajaan menaikkan harga bahan bakar itu selepas penyasaran semula subsidi diesel bermula 10 Jun 2024 di sebalik motosikal tidak gunakan diesel).”

Tuan Ibrahim juga diingati memberi ‘bola tanggung’ apabila mempersoalkan kegagalan kerajaan Madani mengatasi masalah bekalan air di Sungai Bakap yang menimbulkan pelbagai kesulitan kepada penduduk termasuk penjaja makanan yang rata-ratanya adalah Melayu.

“Kamu tahu bahawa Pulau Pinang tak cukup sumber air, kamu tahu Perak utara tak cukup sumber air, kamu ada kuasa, apa kamu buat semasa jadi menteri air,” soal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli sebagai menempelak beliau ketika Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara selama 33 bulan. Tuan Ibrahim adalah menteri alam sekitar dan air dari 10 Mac 2020 hingga 10 Oktober 2022.

Terbaharu dalam kempen PRK Ayer Kuning, timbalan presiden PAS itu yang tentunya tidak dapat menjanjikan bulan dan bintang untuk memikat hati pemilih, hanya mampu menawarkan simbol bulan dengan harapan mereka akan teruja untuk berubah pendirian.

“Sekarang pengundi Ayer Kuning diberi peluang memperbetulkan kesilapan mengundi dahulu. Peringkat Parlimen dah pilih BN, peringkat negeri kena pilihlah PN.

“Anda semua tak pernah rasa macam mana berwakil rakyatkan calon PAS sebagaimana negeri lain rasa. Dahulu Pahang pun sama macam anda juga, PAS nak menang di Pahang cukup payah tetapi apabila mula menang, ternyata wakil rakyat PAS individu yang bersama rakyat,” kata beliau selaku Adun Cheka dan juga ketua pembangkang di DUN Pahang.

Lawak apakah pula ini daripada Tuan Ibrahim, tanya sebilangan pengguna media sosial, dengan sesetengahnya menyoal balik apakah hakikat bahawa pengundi DUN Ayer Kuning tidak pernah merasa diwakili seorang wakil rakyat PAS satu kerugian atau kemujuran.

Sejak DUN Ayer Kuning diwujudkan pada PRU 1986, ia tidak pernah terlepas daripada penguasaan wakil rakyat BN bermula dengan Azman Mahalan (1986-2004), Samsudin Abu Hassan (2004-2022), dan Ishsam Shahruddin sehingga beliau meninggal dunia pada usia 58 tahun 22 Feb lalu.

“Dia (Tuan Ibrahim) nak cerita pasal ekonomi di Perak tak boleh pasal ekonomi, pelaburan di Perak bagus. Pengurusan menteri besar (Saarani Mohamad) di bawah kerajaan perpaduan di Perak juga bagus. Tak ada apa dia nak cerita, akhir sekali dia kata Ayer Kuning selama ni Umno perintah lama dah, tak pernah merasa PAS jadi wakil rakyat.

“Jadi dia kata (dalam ceramahnya) apalah salah kali ini saudara-saudara berpeluang untuk merasa wakil rakyat PAS, nak memperbodoh-bodohkan pengundi di Ayer Kuning. Macam tu dia berkempen, kita pun boleh cakap macam tu kat Kelantan. Kelantan Umno perintah dah pernah rasa, PAS pun dah lama perintah, yang tak pernah rasa PKR perintah lagi, maka, rakyat Kelantan ayuh undi PKR,” sindir pengamat politik WFauzdin NS di TikTok.

Barangkali benar PN — jika tidak tertumpu kepada naratif memburuk-burukkan kerajaan dan berkisar kepada isu 3R (kaum, agama, raja) — memang ketandusan modal kerana tiada apa-apa dapat ditawarkan atas kedudukan mereka bukan kerajaan di peringkat negeri mahupun persekutuan.

Seperti ditonjolkan WFauzdin, pembangkang juga tidak boleh mencipta isu dengan mendakwa Ishsam gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik kerana beliau dikenali sebagai seorang yang rajin bekerja dan merendah diri hingga disukai ramai.

“Kalau pilih calon PAS (Muhaimin Malek) di Ayer Kuning, apa kelebihan wakil rakyat tu? Kecualilah dia boleh beri contoh negeri yang PAS tadbir dengan baik, contohnya Kelantan tu negeri yang maju, Terengganu tu negeri yang maju macam Selangor, Pulau Pinang, KDNK (keluaran dalan negara kasar) dia bagus, pelaburan banyak, nampak pembangunan di bandar-bandar, boleh la dia buat modal kat Ayer Kuning ni. Masalahnya sekarang ni kau nak ambil modal mana?” soalnya.

WFauzdin juga mempertikaikan hujah Tuan Ibrahim mengenai dakwaan kejayaan wakil rakyat PAS di DUN Pahang yang ditepisnya sebagai cerita rekaan.

“Dia suruh tengok prestasi wakil rakyat PAS di Pahang (PAS ada 15 Adun). Dia kata dulu rakyat Pahang pilih Umno saja, sekarang orang Pahang dah pilih PAS. Prestasi apa? Apa yang dia buat? Apa yang dinikmati pengundi di kawasan yang diwakili PAS? Segala program Umno/BN yang tolong buat walaupun tempat pembangkang. Kau cerita kau hanya ada wakil rakyat sahaja, dok main isu sentimen saja.

“Konon bertuahnya rakyat Pahang kerana mereka telah memilih wakil rakyat PAS. Kau nak tipu siapa? Kalau betul la wakil rakyat PAS ni paling pandai mentadbir dan mengurus, pandai menjaga kebajikan rakyat, tak adalah yang miskin di Kelantan tu, tak adalah teruk Terengganu tu. Kamu nak jaja isu ni kat negeri Perak yang berjaya ditadbir kerajaan perpaduan hari ini dengan begitu baik sekali?” soalnya.

Memasuki minggu terakhir kempen PRK Ayer Kuning, dilaporkan bahawa Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang akan turun membantu kempen dan menghangatkan sambutan di pentas ceramah.

Akan hingar-bingarlah derai ketawa hadirin nanti dengan lawak lain yang akan dibawa kedua-duanya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.