
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kedua-duanya yang berusia lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang, Selangor, malam tadi.
“Mahkamah membenarkan lelaki terbabit direman tiga hari, manakala isterinya empat hari bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata setakat ini tiga individu termasuk isteri kepada pelawak berkenaan dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 33 tahun berhubung dakwaan kes penipuan bantuan urusan menukar seksyen hukuman di mahkamah membabitkan suaminya.
Hussein dilapor berkata mangsa berjumpa seorang wanita berusia 28 tahun pada Disember tahun lepas bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi suaminya, dan ditawarkan bantuan untuk menurunkan seksyen kesalahan di mahkamah.
Mangsa kemudian membuat bayaran berjumlah RM95,180 ke dalam dua akaun bank, namun gagal mendapatkan bantuan yang dijanjikan suspek.