Hidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan, kata pengerusi ERC

Hidupkan semula pilihan raya kerajaan tempatan, kata pengerusi ERC

Ab Rashid Ab Rahman berkata Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) sedia mengkaji pilihan kerajaan tempatan untuk dibawa ke perhatian kerajaan.

Pengerusi ERC Ab Rashid Ab Rahman berkata sudah sampai masa bagi Malaysia kembali mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi kerajaan mestilah menyediakan satu sistem sesuai bagi negara ini.
PUTRAJAYA:
Pilihan raya kerajaan tempatan, dihentikan lebih lima dekad lalu, wajar dihidupkan semula tetapi menggunakan formula yang sesuai dengan ciri negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Ab Rashid Ab Rahman.

Beliau yang juga bekas pengerusi dan setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, sudah sampai masa bagi Malaysia kembali mengadakan pilihan raya itu, tetapi kerajaan mestilah menyediakan sistem sesuai bagi pelaksanaan.

Rashid mengakui banyak pihak yang mendesak supaya pilihan raya kerajaan tempatan dikembalikan dan mahu ERC mengemukakan cadangan itu kepada kerajaan dalam laporannya.

Bagaimanapun menurut beliau, pilihan raya kerajaan tempatan bukan antara terma rujukan ERC.

“Pilihan raya ini perlu tetapi kita perlu sediakan kaedah-kaedah yang sesuai lah untuk tentukan bahawa pilihan raya itu sesuai dan dapat menepati dengan kehendak masyarakat,” kata beliau dalam satu pertemuan khas bersama FMT.

Rashid memberitahu kerajaan perlu mengenal pasti sistem untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bersesuaian dengan keadaan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

“Misalnya dalam bandar ada penduduk berbilang kaum dan ini juga menyentuh kebajikan penduduk.

“Perlu tentukan sistem yang wujud itu memberi representasi yang seimbang, sesuai keadaan masyarakat Malaysia ini,” kata beliau.

Pilihan raya kerajaan tempatan pernah diamalkan di Malaysia dahulu sebelum ia dihentikan sekitar 1964.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah berkata kerajaan tidak akan mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan buat masa ini kerana risau ada kebarangkalian ia akan menyemarakkan ketegangan kaum.

Pada 17 Ogos lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya menyasarkan pilihan raya kerajaan tempatan akan dapat dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Zuraida, dalam tempoh tiga tahun sebelum pelaksanaannya, kementerian itu akan menghasilkan model dan kertas cadangan lengkap untuk dibentangkan kepada Kabinet.

Mengulas lanjut perkara itu, Rashid berkata sekiranya diperlukan, ERC bersedia membuat kajian dan keperluan membuat pilihan raya kerajaan tempatan.

“Kita telah ditanya sama ada perkara ini akan berlaku atau tidak. Kita kata tak tahulah kalau kerajaan fikir sesuai dibuat kajian dulu kita buat kajian.

“Saya ada cara sendiri untuk lakukannya dan jika saya diminta buat cadangan, saya akan kemukakan,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.