
Mengambil contoh sistem di Selangor, bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Reezal Merican Naina Merican, berkata lantikan berdasarkan kuota ahli majlis di negeri itu memperuntukkan 25% daripada badan bukan kerajaan, yang akan memberikan pandangan profesional “bebas daripada bingkai kepentingan politik”.
Di Kuala Lumpur pula, katanya, pelantikan ahli lembaga penasihat dewan bandaraya turut mengambil kira komposisi serta perwakilan semua pihak berkepentingan dalam soal perbandaran.
“Pemilihan wakil kerajaan tempatan dalam keadaan semasa sudah pun memadai,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Pada Ahad, ketua DAP Wilayah Persekutuan Tan Kok Wai mencadangkan kerajaan memulakan pilihan raya tempatan di Kuala Lumpur untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis.
Cadangan tersebut bagaimanapun mengundang kritikan daripada pelbagai pihak, termasuk rakannya gabungan pemerintah, Umno.
Reezal berkata beliau lebih cenderung wang awam disalurkan kepada aktiviti meningkatkan kesejahteraan rakyat, tahap daya huni, kualiti perkhidmatan, dan penyelenggaraan prasarana utama.
Beliau berkata memastikan fungsi pihak berkuasa tempatan boleh dipenuhi dan dilaksanakan dengan baik adalah lebih mustahak.
“Prestasi PBT hal yang paling mustahak dan memberi impak langsung kepada rakyat, bukanlah kaedah pemilihan mahupun lantikan terhadap ahli pentadbirannya,” katanya.
“Kerana itulah di Malaysia ini, banyak sahaja kerajaan-kerajaan tempatan yang cemerlang dan dapat membantu kerajaan negeri membangunkan kawasan bandar mereka menjadi bandar yang selesa dan berdaya huni.”