Dapatkan pandangan semua sebelum buat persempadanan semula, Bersih beritahu SPR

Dapatkan pandangan semua sebelum buat persempadanan semula, Bersih beritahu SPR

Bersih berkata ini bagi menghalang kemungkinan wujudnya persempadanan yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

Bersih berkata SPR perlu memastikan persempadanan semula kawasan pilihan raya dapat dilakukan dengan lancar, adil dan seimbang.
PETALING JAYA:
Kumpulan reformasi pilihan raya, Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendapatkan pandangan menyeluruh pemegang taruh sebelum memulakan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Bersih berkata mendapatkan pandangan menyeluruh itu penting bagi meredakan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya persempadanan yang menguntungkan sesetengah pihak sahaja.

“Menerusi perbincangan atau libat urus ini, SPR boleh mendengar pandangan pelbagai pihak berkepentingan sekali gus memastikan proses persempadanan pilihan raya ini dapat dilakukan dengan lancar, adil dan seimbang,” katanya dalam satu kenyataan.

Bersih juga menggesa kerajaan untuk nyah klasifikasikan laporan oleh Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya kepada kerajaan pada 2020.

Katanya, laporan itu patut didedah kepada umum untuk diteliti, diperbahaskan dan direalisasikan secara berperingkat.

Kerajaan juga perlu mengambil perhatian terhadap perubahan dalam landskap pilihan raya berikutan pengenalan Undi18 dan sistem pendaftaran pengundi automatik, yang telah meningkatkan jumlah pengundi yang layak sebanyak 6 juta, katanya.

“Perkara ini membawa kepada ketidakseimbangan dan ketidakadilan taburan jumlah pengundi yang amat ketara antara kawasan Parlimen seperti Bangi dan Sabak Bernam masing-masing dengan jumlah 311,469 dan 51,842.

“Perbezaan ketara ini tidak bertepatan semangat Perlembagaan persekutuan yang memperuntukkan bahawa untuk kawasan pilihan raya dalam negeri yang sama, bilangan pengundinya patutlah ‘lebih kurang sama banyak’,” katanya.

Difahamkan Sarawak bersedia untuk membuat persempadanan semula dalam masa terdekat, kerana kali terakhir sempadan pilihan raya di negeri itu dibuat pada 2015.

Sabah dijangkakan mengikut langkah yang sama pada 2025, dengan semenanjung Malaysia melakukannya pada 2026.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.