Majlis kerajaan tempatan ‘tersekat’ punca perkhidmatan awam Sarawak lemah

Majlis kerajaan tempatan ‘tersekat’ punca perkhidmatan awam Sarawak lemah

Tricia Yeoh dari University of Nottingham Malaysia berkata sistem terhalang oleh ‘sekatan di peringkat negeri’, bukannya kekurangan wakil rakyat.

The Sarawak state assembly
DUN Sarawak baru-baru ini meluluskan rang undang-undang menambah kerusi DUN daripada 82 kepada 99. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyampaian perkhidmatan awam di Sarawak kekal lembap walaupun jumlah DUN ditingkatkan yang disebabkan kurang kuasa kepada majlis kerajaan tempatan, kata seorang ahli akademik.

Tricia Yeoh dari Sekolah Politik dan Hubungan Antarabangsa University of Nottingham Malaysia berkata punca sebenar kelemahan perkhidmatan bukanlah kekurangan wakil rakyat, tetapi kawalan ketat pihak eksekutif negeri terhadap dana pembangunan, kuasa perancangan dan tadbir urus tempatan.

“Walaupun Gabungan Parti Sarawak (GPS) memegang jumlah kerusi besar dalam DUN (76 daripada 82 kerusi), penyampaian perkhidmatan tempatan di Sibu dan kawasan lain masih lembap kerana sekatan di peringkat negeri, bukan kerana kekurangan wakil,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, menurut Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan Sarawak 1996, majlis tempatan tidak mempunyai kuasa perancangan, sebaliknya hanya bertindak sebagai ejen yang menyediakan perkhidmatan kebersihan kepada penduduk.

“Walaupun Sarawak cuba melaksanakan perancangan pembangunan, usaha itu terhalang kerana sebarang permohonan berkaitan perancangan atau pembangunan tanah mesti melalui pihak berkuasa perancangan negeri, bukan pihak berkuasa tempatan berkaitan.

“Agihan kerusi yang lebih adil mungkin meningkatkan kesaksamaan politik, tetapi selagi tiada reformasi struktur yang memberikan kuasa kepada majlis tempatan dari segi perancangan, bajet dan sumber manusia, penyampaian perkhidmatan akan terus tersekat,” katanya.

DUN Sarawak baru-baru ini meluluskan rang undang-undang untuk menambah jumlah kerusi dari 82 kepada 99.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fadillah Yusof berkata penambahan kerusi itu bermakna akan ada lebih ramai wakil rakyat untuk kawasan luar bandar, sekali gus membolehkan suara komuniti tempatan didengar dalam merangka dasar.

Pada 13 Julai lalu, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata beliau tidak menolak keperluan untuk meningkatkan perwakilan, namun mempersoalkan sama ada penambahan 17 kerusi baharu itu merupakan cara yang ‘berkesan, telus dan bertanggungjawab dari segi fiskal’ untuk memperkukuh perkhidmatan awam.

Beliau berkata pemimpin tempatan dan ahli majlis perbandaran sememangnya telah aktif dalam khidmat masyarakat dan lebih baik sumber negeri digunakan untuk menaikkan elaun mereka serta menyediakan peralatan dan latihan yang diperlukan.

Pilihan raya tempatan langkah seterusnya

Yeoh turut berkata pilihan raya kerajaan tempatan mungkin menjadi ‘langkah seterusnya” sekiranya tindakan menambah kerusi DUN bertujuan memperkasakan majlis tempatan.

“Jika GPS benar-benar serius mahu menunjukkan kepimpinan yang berbeza berbanding rakan-rakan sejawatnya di Semenanjung Malaysia, ia sepatutnya memulakan langkah pertama dengan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, iaitu cara terbaik untuk mencapai kebertanggungjawaban di peringkat tempatan,” katanya.

Pengerusi kumpulan reformasi politik Engage, Thomas Fann berkata pilihan raya majlis tempatan akan meningkatkan kebertanggungjawaban dan memberi suara kepada pembayar cukai dalam hal kawasan mereka sendiri.

“Isu-isu tempatan lebih baik dikendalikan oleh ahli majlis yang dipilih secara tempatan dan sentiasa berada di lapangan, jauh lebih baik daripada wakil rakyat yang sepatutnya menumpukan kepada hal ehwal negeri,” katanya.

Namun begitu, beliau berkata kemungkinan untuk kerajaan negeri mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan adalah ‘kosong’.

“Adalah mustahil bagi mana-mana parti yang dominan seperti GPS untuk mengambil risiko membenarkan pembangkang menguasai majlis tempatan, terutamanya di kawasan bandar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.