Mapim gesa laporan ERC segera dibentang, dibahas di Parlimen

Mapim gesa laporan ERC segera dibentang, dibahas di Parlimen

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata laporan oleh jawatankuasa khas itu tidak boleh dibiarkan terperap tanpa sebarang tindakan.

voting
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia juga menggesa suatu pelan tindakan reformasi pilihan raya yang inklusif, dengan penglibatan rakyat, pertubuhan masyarakat sivil, akademik dan profesional, dibentuk.
PETALING JAYA:
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menggesa laporan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) di bentang segera di Dewan Rakyat dan dibahaskan secara terbuka.

Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid berkata laporan yang telah disiapkan oleh jawatankuasa khas itu tidak boleh dibiarkan terperap tanpa sebarang tindakan.

“Kerajaan perlu menjelaskan secara terbuka kepada rakyat tentang status laporan tersebut dan jumlah syor yang telah diambil tindakan.

“Kami percaya bahawa reformasi pilihan raya adalah prasyarat penting untuk memperkukuh institusi demokrasi dan memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Azmi berkata, Mapim juga menggesa suatu pelan tindakan reformasi pilihan raya yang inklusif, dengan penglibatan rakyat, pertubuhan masyarakat sivil, akademik dan profesional, dibentuk.

Beliau juga menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dirombak menjadi badan bebas di bawah kuasa Parlimen, bukan eksekutif.

Katanya, persempadanan semula kawasan pilihan raya juga perlu dilakukan dengan adil, bebas daripada manipulasi politik dan mengwujudkan sistem alternatif kepada ‘first past the post’ (FPTP) atau majoriti mudah.

“Dalam semangat demokrasi yang matang dan adil, Mapim menyokong penuh usaha ke arah pilihan raya yang lebih berwibawa dan mencerminkan suara sebenar rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Azmi juga menyambut baik gesaan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah yang meminta kerajaan menjelaskan status pelaksanaan syor tambah baik pengundian dicadangkan ERC.

Saifuddin Abdullah dalam perbahasan laporan Suhakam di Dewan Rakyat berkata jawatankuasa diketuai bekas pengerusi SPR, Ab Rashid Ab Rahman itu ditubuhkan pada Ogos 2018 susulan desakan rakyat yang semakin tidak percaya kepada institusi pengurusan pilihan raya.

Menurutnya, ERC diberi tempoh dua tahun untuk mengkaji sistem sedia ada dengan membandingkannya dengan amalan demokrasi maju, mendapat pandangan pakar, sesi libat urus dan penyelidikan serta mencadangkan pindaan untuk menambah baik perjalanan pilihan raya supaya proses demokrasi lebih matang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.