Parti politik perlu diletak bawah SPR, bukan jabatan kerajaan, kata ERC

Parti politik perlu diletak bawah SPR, bukan jabatan kerajaan, kata ERC

Ab Rashid Ab Rahman berkata, cadangan meletakkan parti politik di bawah SPR akan dihantar kepada Putrajaya untuk pertimbangan selepas dipersetujui semua pihak yang menghadiri program ERC hari ini.

Sebahagian wakil parti politik yang menghadiri sesi libat urus Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya di Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Parti politik tidak sepatutnya diletakkan di bawah jabatan kerajaan yang ada kaitan dengan Putrajaya, kata Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).

Pengerusinya, Ab Rashid Abd Rahman menyarankan parti politik diuruskan suruhanjaya bebas seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“SPR seharusnya diberi kuasa sebab Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) adalah di bawah kawalan parti pemerintah yang mentadbir kerajaan persekutuan.

“Kita hendak satu badan bebas, jadi SPR harus bertanggungjawab,” katanya dalam sidang media selepas program libat urus tadbir terbuka bersama parti politik di Menara Integriti hari ini.

Ketika ini, parti politik diuruskan JPPM yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

Rashid berkata, semua pihak yang menghadiri program hari ini menerima cadangan itu yang akan dihantar kepada Putrajaya pada Disember nanti untuk dipertimbangkan bagi tujuan pelaksanaan.

“Kita akan hantar laporan sementara pada Disember ini, walaupun kita mempunyai masa sehingga Ogos depan.”

Mengenai prestasi SPR sehingga kini, Rashid berkata, suruhanjaya itu menjalankan tugasnya dengan adil dan bebas setakat ini.

“SPR sudah jalankan sebaik mungkin, mereka profesional walaupun ada banyak kekurangan dari aspek tenaga kerja dan kuasa yang diberikan kepada mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.