
Rashid yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, beliau secara peribadi melihat mereka berusia 18 tahun tidak sesuai untuk menjadi wakil rakyat kerana terlalu muda dan belum cukup matang bertanding.
“Saya tak berkenan secara peribadi. Sebab wakil rakyat ini fungsi dia berbeza. Di negara kita berbeza sikit dengan negara-negara maju.
“Kita masih memerlukan wakil rakyat sebagai pegawai kebajikan kepada rakyat. Orang muda tak sesuai,” kata beliau dalam wawancara eksklusif dengan FMT di sini.
Julai lalu, Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun, pendaftaran pengundi automatik pada usia 18 tahun, dan menurunkan umur calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun telah diluluskan oleh parlimen.
Bagaimanapun awal bulan lalu, SPR menegaskan pihaknya memerlukan dua tahun bagi mendaftar mereka berusia 18 tahun secara automatik.
Dari segi teknikal SPR belum bersedia ke arah pelaksanaan sistem pendaftaran automatik.
Dalam pada itu, Rashid berkata umur 21 tahun ke atas sebelum ini untuk menjadi calon tidak ada masalah.
“Tetapi pandangan peribadi, biarlah 35 tahun ke atas. Biar betul-betul sudah pikul tanggungjawab, ada keluarga dan pegang sesuatu tanggungjawab dalam masyarakat.
“Bagi saya mesti ada kematangan dan kebolehan nak mewakili masyarakat terutama dalam dewan,” kata beliau.