Tunjuk bukti polis terbabit kes kehilangan isteri lelaki ditembak mati di Rawang

Tunjuk bukti polis terbabit kes kehilangan isteri lelaki ditembak mati di Rawang

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, satu laporan polis dibuat terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai pembabitan pegawainya dalam kes kehilangan Moganambal Govindasamy.

Moganambal Govindasamy bersama suaminya yang merupakan warga Sri Lanka, V Janarthanan.
KUALA LUMPUR:
Polis yang kecewa dengan dakwaan pihaknya terbabit dalam kes kehilangan isteri seorang daripada tiga lelaki ditembak mati di Batu Arang, Rawang, pada 14 Sept lalu, mencabar pihak terbabit menyerahkan bukti untuk menyokong tuduhan itu.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, satu laporan polis dibuat terhadap pihak yang menyebarkan berita palsu mengenai pembabitan pegawainya dalam kes kehilangan Moganambal Govindasamy dan tindakan akan diambil ke atas pihak tidak bertanggungjawab.

“Satu laporan polis dibuat terhadap orang yang memulakan cerita ini yang mendakwa kononnya wanita (tersebut) cedera ditembak di kaki. Saya mengingatkan bahawa polis memandang perkara ini serius dan kita akan terus ambil tindakan.

“Saya seru orang ramai jangan terpengaruh dengan perkara ini, sekiranya ada apa-apa yang gusar, tidak faham boleh datang rujuk polis.

“Jangan buat rumusan sendiri, perbuatan berkongsi artikel ini dan buat komen tambahan akan menyebabkan orang-orang ini ditangkap,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.

Beliau berkata demikian susulan rakaman video tersebar di media sosial yang memberi gambaran polis menembak Moganambal yang didakwa turut berada di lokasi polis berbalas tembakan dengan tiga lelaki di Batu Arang lebih seminggu lalu.

Polis Selangor bagaimanapun menafikan Moganambal berada di lokasi kejadian tembakan itu.

Kelmarin, peguam keluarga Moganambal, P Uthayakumar mendedahkan satu rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita meninggalkan lif di pangsapuri The Henge di Kepong pada 10.33 malam 13 Sept lalu, beberapa jam sebelum kejadian tembakan, bersama suaminya yang merupakan warga Sri Lanka, V Janarthanan dan dua lelaki lain.

Katanya, ia membuktikan Moganambal bersama tiga lelaki itu beberapa jam sebelum mereka ditembak mati polis di Rawang.

Janarthanan bersama adik iparnya, Thavaselvan dan Mahendran Santhira Segaran diarahkan berhenti di Bandar Country Homes, Rawang oleh sebuah kereta peronda polis pada 5 pagi 14 Sept lalu.

Tiga lelaki itu yang dipercayai terbabit dalam kes samun bersenjata dan pecah rumah, maut dalam kejadian berbalas tembakan di Kilometer 22, Jalan Batu Arang. Polis kemudiannya menemui dua pucuk pistol separuh automatik, tiga bilah parang serta tiga sarung muka.

Polis berkata, Thavaselvan dan Mahendran dikehendaki kerana mereka adalah ahli kongsi gelap 08 di Rawang, manakala Janarthanan pula tinggal melebihi tempoh visanya.

Pada 20 Sept lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy dilaporkan berkata, Kabinet meminta peguam negara mengkaji kemungkinan mengadakan inkues ke atas kejadian itu kerana timbul beberapa versi kejadian tembakan itu.

Sementara itu, Hamid berkata, polis sedang menyiasat rakaman CCTV itu untuk mengenal pasti individu terbabit yang dirakam meninggalkan lif di Pangsapuri The Henge di Kepong pada 13 Sept lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.