KDEBWM akan ambil tindakan pihak terus tular video lama bendera terbalik

KDEBWM akan ambil tindakan pihak terus tular video lama bendera terbalik

KDEBWM memohon kerjasama semua pihak berhenti menyebarkan video atau gambar lama berkaitan insiden itu.

KDEBWM berkata uniform rasmi krew kutipan dan lorinya kini berwarna merah serta kuning, berbeza dengan uniform biru dalam klip video pada 2020. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
KDEB Waste Management (KDEBWM) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terus menularkan semula rakaman video lama Jalur Gemilang kelihatan terbalik pada lori syarikat itu lima tahun lalu.

Katanya, ia kesal serta dukacita dengan tindakan pihak tertentu menularkannya semula kerana kejadian yang berlaku di Rawang pada 24 Ogos 2020 itu sudah selesai sepenuhnya selepas siasatan pihak berkuasa dan pihaknya sudah memohon maaf secara terbuka ketika itu.

“Dalam kejadian tersebut, pengadu telah menarik balik laporan dibuat selepas disahkan ia berlaku tanpa niat menghina bendera negara.

“Saksi awam turut mengesahkan bendera itu pada asalnya dipasang dengan betul, tetapi kerana ia dilipat dua dan ikatannya terbuka semasa perjalanan, kedudukannya berubah menjadi terbalik.

“Saksi awam tersebut juga secara sukarela membuat laporan polis untuk menyokong perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

KDEBWM berkata, rakaman itu kejadian lama kerana uniform rasmi krew kutipan dan lori syarikat kini berwarna merah serta kuning, berbeza dengan imej biru dalam klip video terbabit.

Tegasnya, tindakan menularkan semula insiden pada 2020 itu mengelirukan orang ramai, memfitnah syarikat serta krew yang sudah disahkan tidak bersalah menerusi siasatan.

Justeru, KDEBWM memohon kerjasama semua pihak berhenti menyebarkan video atau gambar lama berkaitan insiden itu.

“KDEBWM turut menyeru mana-mana individu atau pengendali laman media sosial yang telah memuat naik kandungan tersebut menurunkannya dengan kadar segera.

“KDEBWM tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan kandungan ini selepas kenyataan ini dikeluarkan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.