
“Khabar angin kata SPRM menyembunyikan sesuatu tersebar hanya kerana tiada perkembangan dalam siasatan polis mengenai kehilangannya, tetapi itu sesuatu di luar kawalan SPRM,” menurut sumber FMT dengan syarat namanya dirahsiakan.
Ling, 42, yang dilahirkan di Sarawak—disiasat bersama suaminya, Thomas Hah, atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram — hilang pada 9 April, iaitu enam bulan lalu, dalam perjalanan ke suatu pertemuan dengan SPRM. Kehilangan Ling nampaknya telah melengahkan siasatan SPRM.
“Anggapan mengatakan SPRM mahu menyebabkan kehilangannya adalah tidak masuk akal,” kata sumber itu, menyatakan badan anti-rasuah membina kes dengan bersungguh-sungguh sejak Mei, termasuk menyiasat penubuhan ‘shell companies’ dan mengesan pergerakan dana merentasi bidang kuasa.
“Pada mulanya, Ling tidak bekerjasama dan terpaksa dihantar pulang secara sah dari Singapura pada Januari 2025. Keterangannya dijangka penting dalam menyusun jejak wang (money trail).
“Tanpa dia, kes SPRM menjadi sangat lemah. Maka anggapan mengatakan SPRM mahu melemahkan siasatan sendiri tidak logik,” kata sumber itu.
Sumber juga menegaskan fakta bahawa Ling kali terakhir dilihat berhampiran ibu pejabat SPRM di Putrajaya — lokasi yang dipantau ketat oleh CCTV.
“Adalah tidak rasional bagi SPRM untuk mengatur penculikan di lokasi awam yang dikawal rapi sedemikian,” kata sumber itu.
Sumber turut menjelaskan bahawa polis hanya terlibat dalam siasatan selepas Ling dilaporkan hilang.
“Pada 9 Mei, polis menahan Hah untuk membantu siasatan,” kata sumber itu, dan menambah khabar angin mengenai penglibatan polis menyusuli laporan mendakwa Ling diculik oleh individu berpakaian seragam polis.
“Jika polis benar-benar terlibat, individu terbabit berkemungkinan besar akan berpakaian preman. Dalam kes sebegini, seragam menunjukkan penyamaran, bukan tindakan rasmi,” kata sumber.
Menurut polis, lima kenderaan terlibat dalam kejadian itu, yang mana tiga menggunakan plat nombor klon.
Pada Ogos, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata salah satu kenderaan ditemui ditinggalkan di Bukit Kayu Hitam, berhampiran sempadan Kedah-Thailand.
Kira-kira lapan suspek dipercayai terlibat dalam dakwaan penculikan itu. Dua dilihat dalam rakaman CCTV memakai ves polis. Pada Mei, ketua polis Kuala Lumpur ketika itu, Rusdi Isa, berkata polis tidak terlibat dalam sebarang operasi sedemikian pada masa itu.
Pada Jun, peguam Ling, Sangeet Kaur Deo, berkata keluarga anak guamnya dimaklumkan siasatan polis masih belum temui sebarang petunjuk.