
Dekan Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Mara (UiTM), Azil Bahari Alias, berkata kaedah lama terutama di tapak haram mendedahkan kepada risiko kebakaran kerana ketiadaan sistem kawalan serta pengekstrakan gas atau pengudaraan mencukupi.
Katanya, pembakaran terbuka sisa di tapak pelupusan yang tidak dikawal rapi boleh menghasilkan asap mengandungi bahan seperti partikel halus atau PM2.5, karbon monoksida serta sebatian organik seperti dioksin serta furan.
“Bahan-bahan ini jika terdedah dalam jangka masa tertentu, mungkin memberi kesan kepada kesejahteraan komuniti berhampiran dan ekosistem setempat walaupun setakat ini kualiti air dilaporkan masih dalam keadaan terkawal (di lokasi kejadian),” katanya kepada FMT.

Mengikut laporan media, bomba terpaksa mengambil masa 20 jam sehari untuk memadam kebakaran berhampiran M Residence itu yang berlanjutan selama beberapa hari sejak 27 Julai.
Selain meningkatkan penguatkuasaan, Azil berkata pengurusan sampah boleh dipertimbankan mengunakan teknologi seperti sistem pemulihan gas tapak pelupusan dan loji sisa pepejal kepada tenaga (WTE) untuk jangka panjang.
“Penerokaan potensi WTE sebagai pendekatan jangka panjang untu menambah nilai dan mengurangkan kebergantungan kepada pelupusan konvensional,” katanya.
Dalam pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memperluaskan pembinaan WTE bagi mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan.
Menurut Anwar, langkah itu akan dilakukan dengan inisiatif swasta.
Mei tahun lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, memberitahu kerajaan mengenal pasti 18 lokasi bagi pembangunan WTE di seluruh negara yang menjadi hala tuju baharu pengurusan sisa pepejal menggunakan teknologi canggih dan terkini.