
Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah, pendakwaan belum melengkapkan beberapa dokumen berkaitan kes itu.
“Pihak pendakwa memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan beberapa dokumen berkaitan kes itu. Semua dokumen akan selesai dalam masa terdekat dan dokumen lain sudah dikemukakan kepada pembelaan,” katanya ketika sebutan kes hari ini.
Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza, 42, mengesahkan perkara itu.
Sri Ram turut memaklumkan Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan kes itu akan diteruskan di mahkamah ini.
Pada 9 Ogos lalu, Rozina menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 13 Januari depan untuk perbicaraan kes itu.
Pada 5 Julai lalu, Riza yang merupakan pemilik Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.
Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem “Wolf of The Wall Street” itu didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram berjumlah AS$1,173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank di Los Angeles milik Red Granite Productions Inc.
Wang itu didakwa hasil penyelewengan dana 1MDB.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April hingga 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street di Los Angeles.
Riza yang juga anak Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama membabitkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 September hingga 10 Oktober 2012 di tempat sama.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.
Mengikut pertuduhan kelima, Riza didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.