Najib tak hantar nota terima kasih atas ‘sumbangan’ kerabat Arab Saudi

Najib tak hantar nota terima kasih atas ‘sumbangan’ kerabat Arab Saudi

Peguam beritahu mahkamah, bekas PM zahir sendiri penghargaan kepada Raja Abdullah secara bersemuka kerana perkara itu 'sensitif'.

Najib Razak
Najib Razak sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram libat dana RM2.28 bilion. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Tinggi hari ini dimaklumkan bahawa bekas perdana menteri Najib Razak tidak menghantar surat penghargaan rasmi kepada Raja Abdullah atas dana yang didakwa diterima daripada kerabat diraja Arab Saudi kerana bimbang ia jatuh ke ‘tangan yang salah’.

Ketika menyampaikan hujahan penutup pembelaan, peguam Tania Scivetti berkata, surat sedemikian perlu melalui saluran diplomatik rasmi yang berisiko mendedahkan sifat ‘sensitif’ sumbangan tersebut.

“Ia boleh menjejaskan kerahsiaan pemberian ini,” katanya menambah, sumbangan Raja Abdullah bersifat peribadi dan perlu diurus dengan cermat.

Scivetti berkata, Najib bagaimanapun menzahirkan sendiri penghargaan itu kepada Raja Abdullah secara bersemuka.

“(Najib) sentiasa menjaga adab, berhemat dalam tindakan dan penuh hormat,” katanya.

Dalam keterangannya sebelum ini, Najib mengaku menerima USD20 juta pada 2011 daripada ‘Putera Faisal’, yang didakwanya anggota kerabat diraja Arab Saudi.

Dia turut mengakui tidak menulis surat mengucapkan terima kasih kepada raja Arab Saudi ketika itu atau mana-mana anggota kerabat diraja lain berhubung dana tersebut.

Najib berkata, dia tidak mahu menggunakan urusan surat-menyurat rasmi melalui Wisma Putra memandangkan perkara itu bersifat sensitif.

Bekas perdana menteri itu kini dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.28 bilion yang dikreditkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.