
Dalam penghujahan penutupnya, peguam bela Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin berkata, kes SRC tidak boleh menjadi rujukan bagi prosiding semasa kerana kedua-dua kes itu berasaskan fakta yang sama sekali berlainan.
“Setiap kes perlu dinilai atas meritnya sendiri,” katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.
Beliau berkata, pembelaan Najib dalam perbicaraan SRC sebelum ini bergantung pada empat pucuk surat yang didakwa daripada kerabat diraja Arab Saudi menjanjikan sokongan kewangan, namun ditolak mahkamah kerana tidak disokong keterangan lain.
“(Bagaimanapun) dalam kes ini, surat sumbangan itu sudahpun diambil maklum oleh AmBank dan diserahkan kepada Bank Negara Malaysia untuk semakan wajar.
“Oleh kerana tiada penemuan menyatakan surat-surat itu palsu, beliau (Najib) berhak menggunakannya semula sebagai sandaran,” katanya.
Wan Azwan turut mengulangi hujahannya bahawa empat tuduhan salah guna kuasa dihadapi Najib adalah cacat, kerana setiap tuduhan mengandungi beberapa tarikh, lokasi berbeza, dan menyenaraikan pelbagai dakwaan salah laku.
Najib kini dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.
Perbicaraan bersambung.