4 pekebun durian Raub didakwa ubah wang haram

4 pekebun durian Raub didakwa ubah wang haram

Mereka didakwa terbabit ubah wang haram hampir RM560,000 hasil jualan durian dari tanah diusahakan tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Mahkamah Majistret Kuantan
Empat perkebun durian itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 10 tuduhan pengubahan wang haram hampir RM560,000, hasil jualan durian daripada tanah yang diusahakan tanpa kebenaran di Sungai Klau, Raub. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Empat pekebun durian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 10 pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM560,000 daripada penjualan durian diusahakan tanpa kebenaran sejak tahun lepas.

Lai Seng Wah, 44, Chin Swee Heung, 53, Chua Seng Wen, 64, dan Tong Thin Fook, 60, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Lai didakwa atas dua pertuduhan memperoleh hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM40,245 yang sebahagiannya merupakan hasil penjualan buah durian daripada tanah yang diusahakan tanpa kebenaran sah pihak berkuasa negeri di Sungai Klau, Raub antara 25 Julai 2024 hingga 15 April lepas.

Chin pula berdepan lima pertuduhan sama dengan memperoleh hasil berjumlah RM48,774 di lokasi sama antara 27 Julai 2024 hingga 29 Ogos lepas.

Chua pula didakwa memperoleh hasil sebanyak RM15,945 di Sungai Klau, Raub antara 11 Julai hingga 12 Ogos lepas dan Tong didakwa atas dua pertuduhan sama dengan hasil diperolehnya berjumlah RM454,365 di Sungai Ruan, Raub antara 4 Julai 2024 hingga 7 Okt lepas.

Semua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah wang terlibat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ezuain Farhana Ahmad macadangkan wang jaminan antara RM20,000 hingga RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan syarat tambahan melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.

Peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman yang mewakili semua tertuduh memohon jaminan minimum kerana anak guamnya menanggung keluarga masing-masing.

Mahkamah membenarkan wang jaminan sebanyak RM20,000 untuk setiap tertuduh berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 9 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.