Tiada arahan terus Najib kepada lembaga 1MDB, mahkamah diberitahu

Tiada arahan terus Najib kepada lembaga 1MDB, mahkamah diberitahu

Peguam Najib Razak berkata cadangan projek pembangunan TRX dibincang dan diluluskan oleh lembaga pengarah 1MDB pada 2013.

Najib Razak
Najib Razak dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Tinggi diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan ‘dari atas ke bawah’ kepada ahli lembaga pengarah 1MDB dalam membuat keputusan berkaitan syarikat itu.

Peguam Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin yang mewakili Najib berkata lembaga pengarah 1MDB sendiri yang membincangkan dan menilai cadangan usaha sama dengan Aabar Investments PJS bagi membangunkan Tun Razak Exchange (TRX).

Menurutnya, ahli lembaga itu meneliti cadangan berkenaan beberapa kali sepanjang 2012 sebelum membuat keputusan akhir pada awal 2013.

Dalam hujahan penutupnya, Azwan menegaskan dakwaan dua bekas pengarah 1MDB, Ismee Ismail dan bekas ketua pegawai eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bahawa Najib memberi tekanan kepada mereka hanyalah tuduhan tanpa bukti kukuh.

“Bekas pengerusi, Che Lodin Wok Kamaruddin, menafikan wujudnya pendekatan seperti itu dan menegaskan semua keputusan dibuat selepas perbincangan teliti,” katanya.

Beliau menambah tidak wajar bagi Ismee untuk menggambarkan seolah-olah lembaga pengarah tidak bersetuju dengan cadangan itu sedangkan rekod menunjukkan mereka telah meneliti perkara terbabit beberapa kali.

Azwan turut mendakwa projek berkenaan akhirnya ‘dirampas’ oleh pegawai tertentu dalam 1MDB yang bertindak secara tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian kepada syarikat.

Katanya, selepas 1MDB menerima hasil bon berjumlah USD3 bilion, bekas CEO Mohd Hazem Abdul Rahman dan bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir menandatangani arahan untuk memindahkan wang itu ke tiga dana fidusiari.

Najib kini dibicarakan atas 25 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM2.28 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 hingga Disember 2014.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.