
Bagi mereka, kerjasama ini dapat membina ‘rumah baharu’ Malaysia dengan meletakkan kepentingan orang Melayu dan Islam yang didakwa kian terancam di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Adakah benar dakwaan Melayu dan Islam kini terancam?
Ini bukan kali pertama Umno dan PAS menjalin kerjasama politik. Sebelum PRU14, kedua-dua parti telah bekerjasama membawa pindaan RUU 355 sehingga mencetuskan pertelingkahan parti komponen BN, khususnya parti komponen di Sarawak dan Sabah. Pindaan ini akhirnya menjadi sia-sia apabila ia gagal diluluskan sehingga terbubarnya parlimen.
Pada tahun 2016, PAS dan Umno menggunakan isu etnik Rohnigya untuk menyatukan kerjasama kedua-dua parti. Najib Razak dan Hadi Awang telah menganjurkan himpunan mempertahankan Baitulmaqqdis di Putrajaya pada Disember 2017.
Maka, penyatuan ummah hari ini hanyalah kesinambungann usaha pembangkang untuk mendapatkan undi Melayu dan Islam sebelum PRU14 dan rancangan mengekalkan Umno sebagai pentadbiran walaupun terpalit dengann skandal 1MDB dan rasuah.
Hakikatnya, kerjasama Umno dan PAS ini tidak akan berlaku sekiranya Najib Razak menang pada PRU14 kerana Barisan Nasional mempunyai kerusi di Sarawak yang boleh membentuk kerajaan tanpa kehadiran PAS. Kerjasama ini hanya terjalin kerana kedua-dua parti mempunyai tujuan yang sama, yakni menjatuhkan PH dengan memainkan sentimen orang Melayu dan Islam.
Persoalannya, mampukah ‘penyatuan ummah’ ini dapat menjawab segala persoalan dan cabaran masa hadapan negara?
Konsep penyatuan ummah dilihat tidak inklusif dan sukar menjawab cabaran-cabaran masa hadapan negara. Matlamat kerjasama ini hanyalah untuk tempoh yang singkat iaitu untuk menang PRU15.
Pendekatan Umno dan PAS untuk fokus kepada isu Melayu dan Islam menunjukkan kerjasama ini tidak mempunyai gambaran besar untuk membangunkan semua rakyat berbilang kaum. Suara vokal dalam isu-isu Melayu dan Islam akan melahirkan polemik politik yang kurang toleransi dan kesederhanaan.
Pembangkang juga gagal membawa dasar alternatif yang boleh mencabar dasar kerajaan PH. Mereka lebih cenderung membawa isu-isu populis Melayu dan Islam yang membangkitkan kemarahan dan suasana tidak harmoni antara kaum. Sikap mudah PAS dan Umno menyokong kempen beli barangan muslim yang digerakkan NGO pro-Melayu bukti mudah mereka tidak mempunyai idea untuk membangunkan ekonomi rakyat Malaysia.
Kerjasama ini juga akan mewujudkan beberapa masalah dalaman antara Umno dan PAS dalam agihan kerusi pilihan raya. Adakah Umno rela melepaskan beberapa kerusi majoriti Melayu kepada PAS? Adakah PAS juga rela memberi Kelantan atau Terengganu kepada Umno pada PRU15?
Penyatuan ummah ini tidak memberi makna sekiranya Umno dan PAS tidak membentuk kerajaan bersama di negeri pembangkang. Tanpa usaha di peringkat kerajaan negeri pembangkang, ia menandakan gerakan ini hanyalah retorik politik untuk mencapai kemenangan politik Umno dan PAS untuk PRU15.
Perkara ini tidak bermaksud PH berada dalam keadaan yang selesa. PH masih lemah menguruskan persepsi awam dan melaksanakan perubahan sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat.
Kajian Merdeka Center mendapati kebimbangan rakyat terhadap kelemahan rancangan PH dalam ekonomi meningkat kepada 32% pada bulan Jun dan Julai, jika dibandingkan 25% pada bulan Mac 2019. PH juga harus sedar bahawa kerajaan negeri di bawah pembangkang telah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan, seperti kerajaan Terengganu dibawah PAS.
Malaysia perlu bergerak maju ke hadapan. Untuk menjadi negara maju, rakyat pelbagai latar belakang diperlukan untuk bekerja kuat demi mencapai kemakmuran ekonomi negara.
Kepentingan negara untuk masa hadapan menjadi keutamaan buat setiap parti politik, bukan agenda politik balas dendam, dengan menyebarkan pemikiran yang boleh menggugat keamanan dan kemajuan negara.
Persoalannya, mampukah pembangkang Umno dan PAS menggalas tugas ini dengan konsep penyatuan ummah?
Walau apa sekalipun, gabungan parti politik mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mempertahankan ruang demokrasi yang sihat dan matang serta tidak mengadaikan nasib rakyat untuk laba politik dan kuasa.
Fakhrurrazi Rashid pembaca FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.