
Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang ceramah di program “Malam Islam Bersatu” itu, anjuran jawatankuasa masjid yang dipengerusikan Adun Paya Rumput, Rafiq Naizamohideen.
Tiada sebarang gangguan sepanjang program yang berjalan selama 3 jam itu, namun keadaan sedikit kecoh ketika Naik meninggalkan majlis apabila dia diserbu para hadirin yang mahu bersalam dan bergambar dengan penceramah itu, yang dikehendaki pihak berkuasa India dalam siasatan kes pengubahan wang.
FMT dimaklumkan pemimpin Umno dan PAS tempatan turut menghadiri “Malam Islam Bersatu”, antaranya Adun Serkam, Zaidi Attan; Adun Merlimau, Roslan Ahmad; dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Kamaruddin Sidek.
“Kita di sini, ribuan umat Islam, bersatu mengetepikan ideologi politik tanpa mengira bangsa,” kata Rafiq dalam ucapannya kepada hadirin yang melimpah keluar masjid.
“Saya hairan dan pelik kenapa program ibadah solat, bacaan yasin dan zikir ditentang banyak pihaknya.”

Wakil rakyat PPBM itu menegaskan progam keagamaan itu tiada kena mengena dengan politik dan tidak harus dipolitikkan kerana ia melangkaui perbezaan politik kepartian.
“Masjid Cina Krubong bukan masjid PPBM. Apabila di masjid kita letakkan baju politik di luar. Takkanlah hendak bersatu sebagai umat Islam pun salah?”
“Jadi jangan ada yang anggap ini sebagai satu gabungan politik baru. Kami masih tetap dengn ideologi masing-masing, tetapi apabila bercerita mengenai kepentingan umat Islam, kami bersatu,” katanya.
Beliau turut menyentuh mengenai bantahan pemimpin Pakatan Harapan terhadap program itu, dan berharap tidak ada masalah selepas ini. Antara yang membantah program tersebut adalah wakil rakyat DAP, Kerk Che Yee yang menggesa semua pihak menghormati keputusan Ketua Menteri Adly Zahary mengharamkan ceramah Naik demi keharmonian rakyat.
“Saya sebagai exco kerajaan negeri saya hendak meneruskan kerja-kerja saya dalam kerajaan negeri. Harap ia berjalan dengan lancar,” kata Rafiq.
Beliau turut mengajak hadirin untuk bersama menyokong pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam isu ekstradiri Naik.
“Jangan biarkan Mahathir keseorangan, ketepikan ideologi politik, walaupun ada pihak menentang Mahathir secara terbuka, kita bersama-sama pertahankan Naik,” katanya.
Beliau secara peribadi berharap sekatan larangan ceramah ke atas Naik akan segara ditarik.
“Naik ada beritahu beliau akan datang semula ke Melaka jika sekatan ditarik. Selepas ini bukan sahaja untuk berzikir, bacaan yasin dan bersolat tetapi untuk berdakwah pula,” katanya.