Kembalikan larangan berceramah Zakir Naik, Adun Sarawak beritahu kerajaan

Kembalikan larangan berceramah Zakir Naik, Adun Sarawak beritahu kerajaan

Adun Ba’kelalan, Baru Bian turut mengkritik keputusan Putrajaya menarik balik larangan pada 2019 yang menghalang pendakwah kontroversi memberi ceramah.

baru bian
Adun Ba’kelalan, Baru Bian berkata larangan itu boleh ditarik balik sekiranya Zakir Naik memohon maaf dan berjanji tidak mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi.
PETALING JAYA:
Seorang Adun Sarawak mahu Putrajaya mengembalikan larangan berceramah yang dikenakan terhadap pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik, atas alasan keselamatan negara dan keharmonian kaum.

Adun Ba’kelalan, Baru Bian turut menyatakan kekecewaannya terhadap pendedahan menteri dalam negeri bahawa larangan tersebut tidak lagi berkuat kuasa.

“Adalah sukar difahami bagaimana larangan ini boleh ditarik balik tanpa sebarang justifikasi serta tanpa laporan hasil siasatan terhadap insiden yang pernah dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ketika larangan dikenakan, polis menyatakan kebimbangan serius terhadap keselamatan negara dan keharmonian kaum. Apa yang telah berlaku terhadap kebimbangan ini?”

Baru berkata larangan itu hanya wajar ditarik balik sekiranya Zakir memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulangi sebarang kenyataan berunsur provokasi.

“Keselamatan negara dan kewujudan bersama yang harmoni tidak boleh dikompromi demi kepentingan politik,” katanya.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan bahawa larangan terhadap Zakir yang dikenakan pada 2019 bersifat sementara dan tidak lagi berkuat kuasa.

Penceramah kelahiran Mumbai itu, yang dikehendaki di India atas dakwaan pengubahan wang haram, sebelum ini dilarang berucap di acara umum di Malaysia selepas membuat kenyataan kontroversi mengenai masyarakat India dan Cina tempatan dalam satu ceramah di Kota Bharu pada 2019.

Ketika itu, polis menyatakan faktor keselamatan negara dan keperluan mengekalkan keharmonian kaum sebagai alasan untuk mengenakan larangan itu selepas menerima banyak laporan polis terhadap Zakir.

Semalam, Timbalan Presiden Global Human Rights Federation, Peter John Jaban menggesa kerajaan Sarawak supaya terus menghalang Zakir daripada memasuki negeri itu bagi mengekalkan keharmonian agama.

Baru, yang juga bekas menteri kerja raya, turut menyokong gesaan tersebut dan meminta kerajaan Sarawak mengekalkan arahan yang menyenaraikan Zakir dalam senarai hitam imigresen negeri semasa pentadbiran Adenan Satem sebagai ketua menteri.

Beliau berkata Sarawak berbangga dengan dasar-dasarnya yang menggalakkan keterangkuman agama dan kaum.

“Pendekatan Sarawak ini harus menjadi peringatan bahawa dasar-dasar nasional mesti selaras dengan prinsip keharmonian dan saling menghormati yang diamalkan di Sarawak selama beberapa dekad,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.