Tok Pa ibarat Messi, rugi letak di ‘bangku simpanan’, kata PPBM Kelantan

Tok Pa ibarat Messi, rugi letak di ‘bangku simpanan’, kata PPBM Kelantan

Keberadaan Mustapa Mohamed dalam Kabinet akan mengimbangi barisan menteri yang kurang berpengalaman.

Mustapa Mohamed.
PETALING JAYA:
PPBM Kelantan berkata Pakatan Harapan rugi jika tidak mengangkat bekas menteri Mustapa Mohamed ke Kabinet, menjawab ura-ura ahli Parlimen Jeli itu akan dilantik susulan kenyataan perdana menteri berhubung perubahan portfolio dalam Kabinet.

Timbalan Pengerusi Sazmi Miah berkata Mustapa, yang pernah memegang portfolio kewangan, pengajian tinggi, pertanian, industri asas tani dan pembangunan usahawan, mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran dan berkemahiran.

“Rugi kalau kita tidak guna beliau punya pengalaman sebab beliau sudah masuk belah kita, ibarat kita ambil Lionel Messi tapi letak di bangku simpanan.

“Kita kena guna dia,” katanya kepada FMT.

Sazmi percaya Mustapa akan dapat mengimbangi ketidakseimbangan dalam Kabinet yang majoritinya diduduki menteri-menteri baru yang tiada pengalaman mentadbir.

“Kita nampak lemah sikit kerana mereka tak berapa nak faham dengan sistem pentadbiran kerajaan,” katanya.

Mustapa hari ini mengelak soalan mengenai kemungkinan beliau kembali ke Kabinet, dan enggan mengulas mengenai sebarang pertukaran portfolio.

Minggu lalu, Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, tiada menteri akan digugurkan, sebaliknya hanya beberapa perubahan portfolio.

Beliau turut menolak spekulasi Mustapa akan kembali ke Kabinet.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.