
Beliau berkata, indeks perlombongan mencatatkan penyusutan tertinggi pada 9.9% diikuti indeks pertanian. indeks perhutanan dan perikanan (-6.5%), indeks bekalan air (-2.8 %), dan indeks pembuatan (-0.9%).
“Bagaimanapun, indeks bekalan elektrik dan gas meningkat sebanyak 1.5%,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, PPI bagi pengeluaran tempatan turun 0.1% pada Julai 2019 berbanding pada bulan sebelumnya.
Indeks perlombongan mencatatkan kadar penurunan tertinggi sebanyak 1.2% diikuti indeks bekalan (-0.4%) dan indeks pembuatan (-0.1%).
Sementara indeks pertanian, perhutanan dan perikanan, dan indeks bekalan elektrik dan gas masing-masing naik 1.3% dan 0.2%.
PPI bagi pengeluaran tempatan untuk tempoh Januari-Julai 2019 mencatatkan penurunan sebanyak 2.0% daripada tempoh sama tahun lepas.
Ketua perangkawan menyatakan pada Julai 2019, PPI bagi pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan (SOP) susut 2.2%.
Penurunan itu disumbangkan oleh indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (-7.7%) dan bahan perantaraan, bekalan dan komponen (-1.8%).
Sebaliknya, indeks barang siap meningkat 1.3%.
Pada asas bulanan, PPI bagi pengeluaran tempatan mengikut SOP bagi Julai 2019 menurun 0.1%. Penurunan itu disumbangkan oleh indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (-0.7%).
Bagaimanapun, indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen meningkat 0.1%, manakala indeks barang siap tidak berubah.
PPI bagi pengeluaran tempatan mengukur purata perubahan harga yang dikenakan oleh pengeluar barangan dalam sesuatu industri pada bulan rujukan berbanding tempoh asas.
Ia merupakan petunjuk ekonomi makro yang digunakan bagi memantau pergerakan harga output tempatan dan sering dilihat sebagai petunjuk awal kepada Indeks Harga Pengguna.
Dalam pada itu, peniaga kekal optimistik bagi suku tahun ke-3 2019 dengan petunjuk keyakinan meningkat kepada +3.1% berbanding +2.8% yang direkodkan pada suku tahun sebelumnya.
Mohd Uzir berkata, berdasarkan Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Tahun Ke-3 2019, di antara sektor yang ditinjau, sektor perkhidmatan terus menjadi sektor yang paling optimistik dengan petunjuk keyakinan direkodkan pada +11.5% pada suku tahun ket-3 2019.
“Dalam masa yang sama, prestasi perniagaan dijangka terus positif pada separuh ke-2 2019 berbanding separuh pertama 2019 dengan imbangan bersih +18.2%,” katanya hari ini.
Pertubuhan di sektor industri, perdagangan borong & runcit dan perkhidmatan optimistik terhadap prospek perniagaan mereka bagi 6 bulan ke hadapan berakhir Disember 2019 dengan imbangan bersih masing-masing +18.9%, +8.7% dan +25.6 %.
Statistik Kecenderungan Perniagaan Suku Tahun Ke-3 2019 yang diterbitkan hari ini memaparkan jangkaan prestasi perniagaan bagi suku tahun dan 6 bulan akan datang.
Statistik tersebut adalah berdasarkan survei kecenderungan perniagaan yang dijalankan secara suku tahunan.
Sementara itu, produktiviti buruh Malaysia yang diukur berdasarkan ukuran nisbah nilai ditambah per jam bekerja dan nilai ditambah per pekerja mengikut jenis aktiviti ekonomi kekal pada 2.4% walaupun ekonomi negara berkembang pada suku ke-2 2019.
“Produktiviti buruh Malaysia yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja pada suku ke-2 2019 kekal 2.4% (ST1 2019: 2.4%) walaupun ekonomi negara berkembang 4.9% (ST1 2019: 4.5 peratus).
“Pada suku ini, jumlah jam bekerja meningkat 2.4% selepas mencatatkan 2.0% pada suku sebelumnya,” katanya.
Katanya, produktiviti buruh mengikut jam bekerja diukur dengan membandingkan jumlah barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan (nilai ditambah) dengan jumlah jam bekerja dalam tempoh tertentu di mana sektor pembinaan merekodkan kadar pertumbuhan tertinggi 3.3% (ST1 2019: 4.5%) pada suku ke-2 2019.
Kedua-dua sektor perkhidmatan dan pembuatan masing-masing mencatatkan pertumbuhan 2.5 % diikuti oleh sektor pertanian (2.2%).
Sementara itu, sektor perlombongan & pengkuarian terus mengalami kejatuhan pada 0.7% berbanding negatif 0.8% pada suku pertama 2019, katanya.
Produktiviti buruh mengikut pekerja mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi pada suku ini dengan kadar 2.8% (ST1 2019: 2.2%) apabila pekerja meningkat 2.1% berbanding 2.2% pada suku sebelumnya.