
DOSM berkata, inflasi dunia merekodkan 5.7% pada 2024 berbanding 6.6 pada tahun sebelumnya, berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi Dunia Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada April.
“Selain pengukuhan mata wang ringgit dan penyusutan harga komoditi dunia, inisiatif kerajaan mengawal harga barang dan perkhidmatan serta pemberian subsidi bagi barangan tertentu, membantu mengekang inflasi Malaysia daripada terus meningkat lebih tinggi,” kata jabatan itu dalam kenyataan
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata, kesemua kumpulan mencatatkan kenaikan pada 2024 kecuali maklumat dan komunikasi (-1.5%) dan pakaian dan kasut (-0.3%).
“Peningkatan lebih rendah bagi inflasi Malaysia didorong oleh kumpulan restoran dan perkhidmatan penginapan (3.1%); makanan dan minuman (2.0%); kesihatan (1.8%); pendidikan (1.5%); pengangkutan (1.0%) dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (0.7%),” katanya.
“Dalam pada itu, kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.0%); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.0%); rekreasi, sukan dan kebudayaan (1.8%); minuman alkohol dan tembakau (0.7%) serta insurans dan perkhidmatan kewangan (0.3%) mencatatkan lonjakan lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya.”
Mohd Uzir berkata, inflasi bagi perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain mencatatkan peningkatan ketara walaupun inflasi keseluruhan menyederhana pada 2024.
Ini berikutan kenaikan caj perkhidmatan pembetungan oleh Indah Water Konsortium (IWK) pada Januari 2024 bagi mengimbangi kenaikan kos operasi.
“Kenaikan kumpulan ini turut didorong oleh pelarasan tarif perkhidmatan bekalan air oleh kerajaan menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang melibatkan kenaikan purata sebanyak 22 sen per meter padu bagi kategori pengguna domestik di Semenanjung Malaysia dan Labuan berkuat kuasa 1 Feb 2024,” katanya.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, inflasi melibatkan pengangkutan merekodkan peningkatan lebih perlahan kepada 1.0% (2023: 1.1%), kebanyakannya disumbangkan oleh subkumpulan pembelian kenderaan yang menyederhana kepada 0.1% berbanding 1.4% pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, inflasi untuk pengurusan peralatan pengangkutan persendirian menokok lebih tinggi pada 2024, iaitu 1.3% (2023: 0.8%) susulan pelaksanaan subsidi diesel bersasar bermula 10 Jun 2024 oleh kerajaan bagi mengawal ketirisan subsidi diesel, tambahnya.
Mengulas mengenai inflasi pada peringkat negeri pula, beliau berkata, kebanyakan negeri menunjukkan peningkatan perlahan dalam inflasi.
Katanya, empat negeri melepasi paras inflasi nasional 1.8% pada 2024, iaitu Pulau Pinang (3.0%), Pahang (2.4%), Sarawak (2.4%) dan Selangor (2.1%).
Labuan mencatatkan peningkatan paling rendah iaitu 0.7%.
“Kesemua negeri mencatatkan peningkatan perlahan bagi inflasi kumpulan makanan dan minuman pada 2024,” kata Mohd Uzir.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata, kadar inflasi di rantau Asean dicatat antara -0.4% di Brunei, hingga 23.1% di Laos tahun lepas.
“Lima negara mencatatkan kadar inflasi lebih tinggi daripada Malaysia (1.8%) iaitu Laos, Vietnam, Filipina, Singapura dan Indonesia, manakala, Kemboja, Thailand dan Brunei merekodkan kadar inflasi lebih rendah,” katanya.