KPN tidak harus dikecuali daripada siasatan IPCMC, kata Majlis Peguam

KPN tidak harus dikecuali daripada siasatan IPCMC, kata Majlis Peguam

IPCMC dicadangkan pada 2005 berikutan gesaan supaya ditubuhkan sebuah badan pemantauan polis susulan kes dan aduan salah laku dalam kalangan anggota pasukan itu.

Naib Presiden Majlis Peguam Roger Chan berkata, seorang anggota polis tidak harus dihakimi oleh anggota polis lain.
KUALA LUMPUR:
Majlis Peguam Malaysia hari ini berkata, pengecualian ketua polis negara (KPN) daripada liputan siasatan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) “tidak boleh diterima”.

Naib presidennya Roger Chan mempersoalkan kenapa KPN diberikan kuasa pembuatan keputusan di bawah rang undang-undang IPCMC.

“Ia perkara penting yang perlu dipertimbangkan kerana ia berkaitan anggota polis yang dihakimi oleh polis. Ia bukan satu prinsip yang boleh diterima,” katanya pada satu sidang media di premis Majlis Peguam hari ini.

Pengerusi pasukan petugas IPCMC Majlis Peguam M Ramachelvam tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan bahawa KPN dikecualikan kerana pegawai awam kanan adalah tertakluk kepada jawatankuasa disipilin khas yang dipengerusikan oleh ketua setiausaha negara.

Ramachelvam menggesa supaya Perintah Tetap KPN (PTKPN) dimasukkan ke dalam rang undang-undang IPCMC.

Beliau berkata, pada masa ini, Fasal 22(2) rang undang-undang itu mengecualikan PTKPN, yang bermakna perkara yang disebut dalam Seksyen 96 dan 97 Akta Polis akan dikecualikan daripada bidang kuasa IPCMC.

“Semua salah laku adalah tertakluk di bawah perintah tetap. Jadi jika kita mengecualikan perkara yang tertakluk kepada perinta tetap, maka IPCMC tidak boleh berbuat apa-apa lagi,” katanya.

Ahli pasukan petugas Majlis Peguam, Andrew Khoo menyuarakan kebimbangan sama mengenai beberapa peruntukan dalam rang undang-undang itu dengan berkata, PTKPN diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Katanya, negara demokrasi lain seperti Australia dan United Kingdom tidak mengklasifikasikan peraturan bersamaan PTKPN mereka di bawah OSA dan boleh dicapai secara atas talian oleh orang awam.

“Tidak masuk akal apabila rakyat Malaysia boleh mengakses perintah tetap Polis Berkuda Kanada misalnya, tetapi tidak tahu apakah perintah tetap Bukit Aman.

“Kita perlu bergerak meninggalkan persekitaran rahsia rasmi untuk menuju ke arah ketelusan dan akauntibiliti,” katanya.

Khoo berkata, rang undang-undang IPCMC bertujuan menjamin kompetensi dan integriti pasukan polis, selain meraih kepercayaan dan keyakinan orang ramai.

Terdahulu Chan berkata, walaupun rang undang-undang itu dijangka diluluskan pada Oktober ini, ia seharusnya mengekalkan sebahagian besar daripada ciri rang undang-undang asal yang dicadangkan pada 2005.

“Majlis Peguam konsisten dalam pendiriannya bahawa rang undang-undang asal 2005 tidak harus dilemahkan,” katanya.

IPCMC dicadangkan pada 2005 berikutan gesaan supaya ditubuhkan sebuah badan pemantauan polis susulan kes dan aduan salah laku dalam kalangan anggota pasukan itu.

Pada Mei, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa suruhanjaya itu akan diwujudkan sebelum akhir tahun ini, berikutan pertemuan antara Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dengan Pusat Governans, Intergriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Dilaporkan bahawa polis bersetuju IPCMC diwujudkan dengan jaminan kuasa dan peranan pasukan itu tidak terhakis.

Rang undang-undang IPCMC dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 18 Julai dan dijadualkan dibaca kali ke-2 pada Oktober. Ia mendapat kritikan banyak pihak, termasuk bekas ketua polis negara, Fuzi Harun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.