Mangsa ribut di 7 negeri boleh tuntut wang ihsan sehingga RM500, kata TPM

Mangsa ribut di 7 negeri boleh tuntut wang ihsan sehingga RM500, kata TPM

Wan Azizah Wan Ismail berkata, Kabinet bersetuju memberi bantuan itu membabitkan peruntukan keseluruhan RM17.025 juta daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

Sebahagian kubah besar Masjid Umar Al-Khattab di Jitra, Kedah, tercabut akibat badaian ribut pada 9 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mangsa kejadian ribut yang melanda 7 negeri Jumaat lalu akan menerima bantuan wang ihsan RM200 hingga RM500 mengikut tahap kerosakan kediaman masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, Kabinet bersetuju memberi bantuan kepada mangsa melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara melibatkan peruntukan keseluruhan RM17.025 juta.

Katanya, peruntukan itu akan turut digunakan untuk membiayai perolehan, sama ada barangan atau perkhidmatan berkaitan dengan membaik pulih kediaman rosak.

“Kerajaan persekutuan bersama kerajaan negeri sedaya upaya akan membantu meringankan beban mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehingga semalam, 3,601 kediaman dilaporkan rosak selain premis lain seperti sekolah, hospital, masjid dan surau.

Wan Azizah berkata, di peringkat negeri, sebahagian kerja baik pulih kecil sudah siap, manakala sebahagian lagi di peringkat verifikasi dan anggaran kos baik pulih.

“Kerajaan berharap semua mangsa terlibat tabah dalam menghadapi bencana ini dan kerajaan, baik di peringkat persekutuan mahupun negeri, komited membantu mangsa-mangsa terlibat sebaik mungkin.”

Pada 9 Ogos lalu, Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Pahang dan Terengganu dilanda ribut kesan daripada Taufan Lekima yang melanda timur China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.