
Maklum akan respon masyarakat, kementerian berkata ia akan meneruskan pelaksanaan pengenalan seni tulisan khat seperti dijadualkan, dengan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.
“Perancangan tulisan khat ini dilaksanakan melalui semakan semula kurikulum sejak 2014. Usaha ini juga melalui pelbagai sesi libat urus dengan pakar-pakar bahasa dan pendidikan,” katanya dalam kenyataan.
Kementerian berkata pengenalan seni tulisan khat bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu, sejajar dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan.
Seni tulisan khat, katanya, boleh dilihat pada jata negara dan negeri-negeri dan wang kertas Ringgit Malaysia.
“Pengenalan tulisan khat ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara,” katanya.
Rancangan memperkenalkan seni tulisan khat dibantah kumpulan Dong Zong dan Jiao Zong yang berpendapat pengajaran khat akan membebankan lagi para pelajar dan guru, dan tiada kaitan dengan penguasaan bahasa kebangsaan.
Mereka juga mendakwa “tidak sesuai” dimasukkan dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menepis bantahan itu, mengatakan ia cuma untuk mendedahkan para pelajar kepada khat.
“Para pelajar perlu kesan garis bentuk dalam buku-buku teks,” kata Setiausaha Agung Harry Tan, dan menambah para murid hanya diberi 5 ungkapan untuk latihan tulisan khat.