
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, bahan berkenaan diperoleh daripada negara seperti UK, Belanda, Itali, Perancis dan India.
“Sejak 1965, Jabatan Muzium Malaysia, Arkib Negara dan Perpustakaan Negara komited untuk membawa pulang bahan bersejarah Malaysia dari luar negara,” katanya kepada Dewan Rakyat.
Menurutnya, arkib negara membeli koleksi rekod digital besar yang dicipta Colonial Office (kini tidak beroperasi) melibatkan 8,507 fail dan kira-kira 1.3 juta imej, pada November tahun lalu.
Ia boleh diakses umum sejak bulan lalu.
Katanya, kerajaan telah mengenal pasti beberapa negara untuk kerja-kerja lanjut dalam menjejak dan menyelidik rekod berkait Malaysia, termasuk AS, Rusia, Sepanyol, Norway dan Turki.
Tahun lalu, Jabatan Muzium Malaysia memulakan misi untuk memperoleh semula objek bersejarah yang berada di luar negara menerusi kerjasama dengan Wisma Putra dan misi diplomatik, dengan anggaran perbelanjaan berjumlah RM6 juta.
Katanya, perpustakaan negara turut menjejak dan memperoleh 790 salinan manuskrip Melayu dari 27 institusi luar negara termasuk Perpustakaan British, Universiti Cambridge serta institusi di Paris dan Belanda.
Beliau berkata, RM500,000 diluluskan tahun ini bagi projek untuk menjejak manuskrip Melayu di Belanda dan Rusia.
Sementara itu, Aaron berkata arkib negara dan Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi sedang menghimpunkan bahan untuk Memorial Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bakal dibina di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Katanya, setakat ini 973 barangan telah diperoleh termasuk dokumen rasmi, gambar, video dan bahan terbitan.