Syarikat tarik memo larang pekerja solat pada masa pejabat

Syarikat tarik memo larang pekerja solat pada masa pejabat

Syarikat pengeluar beg plastik di Klang menafikan mengeluarkan memo melarang pekerjanya menunaikan solat pada waktu bekerja.

Memo yang dikatakan dikeluarkan oleh sebuah syarikat di Klang melarang pekerjanya menunaikan solat pada waktu pejabat.
PETALING JAYA:
Sebuah syarikat di Klang menarik balik memo melarang pekerjanya menunaikan solat pada masa pejabat.

Pengeluar beg plastik Hond Tat Industries Sdn Bhd berkata berlaku salah faham berkaitan memo bertarikh 30 Julai itu.

“Semua pekerja marah,” kata jurucakap syarikat berkenaan kepada FMT.

Beliau berkata, memo tersebut belum ditampal di papan kenyataan syarikat.

Memo yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan Melayu itu menyebut:

“Pihak pengurusan ingin memaklumkan kepada semua pekerja bahawa tidak dibenarkan pergi solat ketika waktu bekerja kecuali pada waktu makan tengah hari sahaja.

“Dengan serta-merta jika didapati melanggar arahan akan dikenakan denda sebanyak RM500.00 (Ringgit Malaysia Lima Ratus Sahaja) untuk setiap kali kesalahan.

Syarikat berkenaan menafikan mengeluarkan memo tersebut.

“Ia adalah perbuatan sabotaj. Tidak ada tanda tangan pada memo itu dan tidak ada kelulusan daripada pengurusan tertinggi. Sesiapa juga boleh mengambil kepala surat dan mencetaknya,” pengurus operasi syarikat memberitahu akhbar New Straits Times, dengan menambah satu laporan polis akan dibuat oleh pihak syarikat.

Dalam pada itu, ketua Pemuda Umno Kapar, Muhammad Noor Azman Noor Hizam mengancam untuk “mengambil tindakan tegas dan bersesuaian” sekiranya memo itu didapati sahih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.