Mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk dengar kes keluar agama, kata hakim

Mahkamah sivil tiada bidang kuasa untuk dengar kes keluar agama, kata hakim

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa bawah Perkara 121(1A) kepada mahkamah syariah untuk menentukan kes sedemikian.

Seorang wanita berusia 32 tahun merujuk kepada mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan mahkamah syariah berhubung permohonannya untuk meninggalkan agama Islam.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menolak permohonan seorang wanita bagi memulakan cabaran undang-undang untuk meninggalkan agama Islam dengan berkata, mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes sedemikian.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid berkata, Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa bawah Perkara 121(1A) kepada mahkamah syariah untuk menentukan kes meninggalkan agama.

“Bagi saya, tidak kira apa keputusan (mahkamah syariah), isunya ialah mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar perkara mahkamah syariah dan tidak mempunyai kuasa untuk menyemak keputusan mahkamah syariah dalam kes membabitkan tindakan keluar daripada agama Islam.

“Mahkamah syariah juga tidak melakukan kesalahan dalam menentukan kes ini kerana ia berada dalam bidang kuasa mereka, dan (mereka juga) tidak bertindak secara ultra vires apabila mengeluarkan perintah,” katanya.

Bulan lepas, hakim menolak permohonan wanita berusia 32 tahun itu untuk memulakan cabaran undang-undang supaya dibenarkan meninggalkan agama Islam.

Bagaimanapun, pada masa itu, mahkamah tidak memberi alasan mengapa ia enggan melayan permohonan wanita berkenaan.

Wanita itu, yang dilahirkan sebagai orang Islam, mendakwa dia tidak pernah mengamalkan Islam dan ibunya membenarkannya memilih agama.

Katanya, dia telah pergi ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 2018 untuk mendapatkan perintah agar dia dapat keluar daripada Islam kerana mahu mengamalkan agama Buddha.

Sejurus selepas memfailkan permohonannya di Mahkamah Tinggi Syariah, mahkamah memerintahkannya menghadiri 12 sesi kaunseling.

Selepas itu, mahkamah menolak permohonannya untuk meninggalkan Islam pada 2020 dan memberitahunya untuk mendapatkan lebih banyak kaunseling. Mahkamah Rayuan Syariah mengekalkan keputusan itu walaupun selepas wanita tersebut mengemukakan rayuan.

Wanita itu kemudiannya merujuk kepada mahkamah sivil untuk membatalkan keputusan mahkamah syariah itu. Dia mendakwa keputusan untuk menolak permohonannya “keluar daripada agama Islam” melanggar Perkara 11, yang menjamin kebebasan beragama seseorang.

Peguamnya telah memfailkan rayuan berhubung keputusan menolak permohonannya untuk semakan kehakiman.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.