
Keputusan Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah (CJEU) itu berkait kes seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan Ans, timur Belgium, yang dilarang berhijab di tempat kerja.
Pihak berkuasa tempatan itu kemudian meminda syarat bekerja dengan mewajibkan kakitangannya bersikap neutral tanpa memakai sesuatu yang menunjukkan kepercayaan agama atau ideologi.
Wanita itu memfailkan saman dengan mendakwa hak kebebasan beragamanya diganggu.
Isu hijab menjadi kontroversi di Eropah sejak beberapa tahun lalu.
CJEU berkata, dasar berkecuali ketat yang bertujuan mewujudkan persekitaran pentadbiran neutral boleh dianggap wajar.
Menurutnya, badan pentadbiran awam lain juga boleh dianggap bersikap wajar sekiranya memutuskan untuk membenarkan pemakaian sesuatu yang menunjukkan kepercayaan agama secara jelas.
Mahkamah berkata, pihak berkuasa di negara anggota mempunyai budi bicara dalam memutuskan sejauh mana keberkecualian perkhidmatan awam yang mahu dilaksanakannya.