Anwar berdepan dilema untuk raih sokongan Malaysia Timur, undi Melayu

Anwar berdepan dilema untuk raih sokongan Malaysia Timur, undi Melayu

Penganalisis berkata perdana menteri tidak boleh bercakap tentang kebebasan beragama di Sabah dan Sarawak sambil cuba meraih semula sokongan orang Melayu.

anwar ibrahim sarawak
Penganalisis James Chin berkata Anwar Ibrahim perlu berwaspada dalam menyokong isu seperti kebebasan beragama, khasnya di Malaysia Timur, kerana ia boleh menyinggung pengundi Melayu di Semenanjung. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim tidak dapat menangani kebimbangan Malaysia Timur, termasuk kebebasan beragama, sambil berusaha mendapatkan semula sokongan pengundi Melayu di Semenanjung Malaysia.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, Anwar berdepan dilema dalam mengimbangi kepentingan itu.

“Anwar hilang undi Melayu (kepada Perikatan Nasional) di Semenanjung Malaysia, jadi beliau perlu dapatkan semula dengan menampilkan dirinya sebagai juara (Melayu-Islam),” katanya kepada FMT.

“Umno sedang menerajui usaha kerajaan perpaduan di kawasan Melayu, jadi beliau tidak boleh kata perkara seperti menyokong kebebasan beragama kerana ini akan menjejaskan sokongan orang Melayu di Semenanjung.

“Jadi, langkah terbaik untuknya sekarang ialah berdiam diri dan tidak bercakap terlalu banyak mengenai isu ini.”

Beliau mengulas kenyataan aktivis Sabah, Johan Ariffin Samad yang memberi amaran Pakatan Harapan-Barisan Nasional mungkin berdepan kesukaran di Malaysia Timur, jika pilihan raya mengejut diadakan susulan rasa tidak puas hati semakin meningkat terhadap cara Putrajaya mengendalikan hal ehwal agama.

Johan dilaporkan berkata, ramai rakyat Malaysia Timur melihat peranan kerajaan dalam agama melampaui batas, bercanggah perjanjian 20 perkara Sabah, yang pada asalnya tidak termasuk peruntukan Islam.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata, penting untuk Anwar dan PH-BN memfokuskan kebebasan beragama dan hak tempatan disebabkan landskap budaya dan agama Sabah serta Sarawak yang unik.

“Menangani isu ini boleh membantu bina kepercayaan dan menunjukkan kerajaan persekutuan menghormati serta menghargai identiti tersendiri mereka.”

Tetapi, katanya, ini saja tidak mencukupi kerana pembangunan ekonomi, infrastruktur dan rungutan tempatan juga perlu ditangani.

Beliau menggesa PH-BN menyesuaikan pendekatannya lebih awal, memandangkan identiti Malaysia Timur semakin berkembang dan desakan untuk penentuan nasib sendiri boleh membawa kepada politik lebih berfokuskan serantau.

“Untuk perpaduan negara, ini bermakna gabungan nasional perlu lebih inklusif dan responsif kepada tuntutan serantau bagi mengekalkan perpaduan.”

Chin yang senada berkata, gerakan akar umbi semakin meningkat di Sabah mendorong kempen “undi tempatan”, sama seperti strategi negeri jirannya “Undi Gabungan Parti Sarawak”.

“Satu daripada akibatnya ialah jika momentum itu hilang, semua orang kata undi parti berasaskan Sabah, maka parti PH dalam kerajaan negeri akan berdepan masalah kerana DAP dan PKR parti nasional.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.