Lebih RM313 juta disalur kepada badan bukan Islam di Sabah, kata pemimpin PBS

Lebih RM313 juta disalur kepada badan bukan Islam di Sabah, kata pemimpin PBS

Arthur Sen berkata bantuan itu meningkat setiap tahun sejak GRS mentadbir Sabah pada 2020.

Kerajaan Sabah pimpinan Hajiji Noor sedia peruntukan RM70 juta kepada rumah ibadat bukan Islam dan sekolah Cina pada tahun ini. (Gambar Facebook Hajiji Noor)
PETALING JAYA:
Kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) konsisten menjaga keharmonian antara agama di negeri itu melalui dasar adil dan inklusif, termasuk peningkatan berterusan peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam serta sekolah Cina sejak 2020.

Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Arthur Sen berkata sebanyak RM313.8 juta telah disalurkan kepada badan keagamaan bukan Islam dan sekolah aliran Cina bagi tujuan penyelenggaraan, pembangunan dan sokongan operasi.

Berdasarkan data, jumlah peruntukan kepada rumah ibadat bukan Islam dan sekolah Cina meningkat daripada RM43 juta pada 2020 dan 2021 kepada RM47 juta pada 2022, RM54.05 juta (2023), RM56.75 juta (2024) dan RM70 juta tahun ini.

arthur sen
Arthur Sen.

“Tahun depan sudah diumumkan naik RM90 juta, ia bukti komitmen kerajaan GRS dan bantuan ini bukan bermusim,” katanya kepada FMT.

Arthur berkata langkah itu antara tiga langkah kerajaan negeri pimpinan Hajiji Noor memastikan keharmonian antara agama, selain mengekalkan cuti umum tambahan pada 24 Dis untuk sambutan Krismas diperkenalkan pada 2018.

“Keputusan mengekalkan cuti 24 Dis itu mencerminkan kematangan politik kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan pendirian kerajaan negeri pada 2021 menolak cadangan memperkenalkan Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam sebagai sebahagian daripada empat undang-undang syariah baharu.

Katanya, pendirian itu dibuat kerana Sabah sejak dahulu mengamalkan hubungan antara agama yang harmoni dan mana-mana dasar boleh menimbulkan ketegangan tidak sesuai untuk negeri itu.

“Sabah sudah lama menjadi model perpaduan dan kita mahu ia kekal begitu,” katanya merujuk langkah hendak dilaksanakan pentadbiran kerajaan campuran empat tahun lalu.

Ahmad Marzuk Shaary, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal agama) ketika itu berkata rang undang-undang bersabit pengembangan agama bukan Islam adalah sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah selama lima tahun dari 2020 hingga 2025.

Bagaimanapun menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan parlimen) ketika itu Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tiada cadangan menggubal akta untuk menyekat atau mengawal pengembangan agama bukan Islam yang dibawa ke Kabinet dan jika ada, ia memerlukan persetujuan negeri terlebih dahulu.

Hajiji dipetik berkata Sabah tidak bersetuju kerana berpegang kepada prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.