
Melati Nungsari, pembantu pensyarah ekonomi Asia School of Business, mendapati seseorang boleh mengikis persepsi negatif itu selepas berinteraksi dengan pelarian selama 3 jam.
“Ini bermakna untuk mengubah persepsi orang ramai terhadap isu pelarian, perkara yang boleh dilakukan dengan kos sangat kecil ialah mendedahkan rakyat Malaysia kepada pelarian.
“Ini membuatkan rakyat Malaysia menyedari pelarian tidak jauh berbeza daripada mereka, keperluan dan kehendak mereka pada asasnya adalah sama,” katanya kepada FMT.
Kajian Melati yang menganalisis perubahan sikap berat sebelah tersirat sukarelawan Malaysia, khasnya mereka yang tidak pernah menemui pelarian, mendapati kurang pengetahuan ialah punca sebenar mereka tidak menyenangi pelarian.
“Kebanyakan rakyat Malaysia hanya tahu mengenai pelarian daripada berita yang mereka baca atau tonton, dan ini tentunya agak terhad.”
Bagaimanapun, beliau mendapati ada perubahan positif dalam sikap rakyat Malaysia sejak beberapa tahun lalu.
“Contohnya, satu kebiasaan sekarang untuk melihat syarikat menjual produk dihasilkan pelarian atau memperjuangkan hak pelarian di bazar seluruh negara yang diterima baik orang tempatan.”
Pelarian di Malaysia tidak dibenarkan bekerja dan ini memaksa mereka mencari rezeki secara haram dengan melakukan kerja berbahaya dan merendahkan martabat. Ramai yang berisiko ditipu majikan mereka.
“Menafikan akses kepada peluang pekerjaan membuatkan mereka terdesak, dan boleh memaksa mereka berada dalam keadaan tidak diingini, seperti mengemis di jalanan, mencuri atau diperdagangkan.”
Beliau berkata, tiada data mencukupi mengenai dasar pelarian di Asia Tenggara.
“Isu pelarian dikaji dengan baik di Timur Tengah dan Eropah, tetapi penyelidikan akademik di Asia Tenggara dan khasnya Malaysia agak jarang.”
Oleh itu, Melati dan rakan sekerjanya mengadakan bengkel penyelidikan mengenai isu pelarian di Asia Tenggara tahun lalu, yang dihadiri lebih 60 peserta pelbagai latar belakang. Antaranya ahli akademik, wakil NGO dan pegawai kerajaan dari Malaysia, Thailand serta Singapura.
Katanya, peserta mendapati isu paling utama dihadapi pelarian di rantau ini ialah kurang perlindungan undang-undang atau pengiktirafan, penafian hak untuk bekerja dan akses bagi penjagaan kesihatan pada harga mampu bayar dan pendidikan formal.
“Kebanyakan pelarian di Asia Tenggara tidak diiktiraf secara sah oleh kerajaan di negara didiami mereka.”
Hanya Filipina dan Kemboja yang mengiktiraf Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1951 dan Protokol 1967 yang menetapkan hak pelarian serta tanggungjawab bgi negara yang memberi suaka kepada mereka.
Bagaimanapun, Melati mengakui Malaysia agak mudah bertolak ansur terhadap pelarian.
“Tidak seperti Thailand, kita tidak menempatkan semua pelarian di kem. Sebaliknya, kita membenarkan mereka bergerak secara bebas di negara ini.”
Katanya, agensi penguatkuasaan Malaysia tidak terlalu agresif menyasarkan pelarian dan mereka dibenarkan mendapat rawatan di hospital kerajaan, walaupun mereka dikenakan bayaran untuk warga asing.
Melati menghabiskan 2 tahun untuk mengumpul datanya. Beliau berkata, kekurangan maklumat sebahagiannya disebabkan jumlah pelarian yang sangat kecil berbanding populasi rakyat Malaysia. Terdapat kira-kira 170,000 pelarian dan 30 juta rakyat Malaysia.
Katanya, baru-baru ini, ahli akademik cuba mengelak penyelidikan dalam isu pelarian kerana bimbang tidak disenangi individu berkuasa dari segi politik.
Beliau berkata, janji kerajaan Pakatan Harapan untuk menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 menyebabkan perubahan fikiran dalam kalangan ahli akademik yang kini melihat topik itu lebih mudah diterima untuk kajian mendalam.