
Presiden Syed Hussain Syed Husman berkata membenarkan pelarian dan pemohon suaka di Malaysia bekerja secara formal suatu strategi menang-menang yang boleh mengurangkan kekurangan buruh, selain terus menjunjung komitmen kemanusiaan.
“Kami menggesa kerajaan bekerjasama dengan pemegang taruh, termasuk majikan, kesatuan sekerja, dan NGO, dan pertubuhan antarabangsa, bagi membangunkan rangka kerja jelas dan bertanggungjawab.
“Rangka kerja sedemikian perlu menentukan status dan permit kerja sah; menggariskan kewajipan majikan dan hak pekerja; memastikan tapisan, pemadanan, dan pemantauan betul; dan menyepadukan latihan dan kemahiran diiktiraf bagi memastikan penempatan produktif,” katanya dalam kenyataan.
Syed Hussain berkata menyepadukan dua kumpulan tersebut dalam tenaga buruh mampu melegakan kekurangan pekerja dalam industri pertanian, pembinaan, pembuatan, dan perkhidmatan penjagaan.
Ia akan membolehkan majikan menggunakan tenaga kerja tersedia yang sudah berada di negara ini, sekali gus menjimatkan masa dan kos.
Katanya, jika 30% hingga 40% pelarian dan pemohon suaka diberikan akses dalam pasaran kerja formal, ia boleh menyediakan 55,000 hingga 75,000 pekerja.
Beliau berkata MEF sedia melakukan libat urus dengan pihak berkuasa mengenai cadangan berkenaan.
Pada Februari, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata kerajaan sedang memperhalusi tentang bagaimana pelarian berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) boleh bekerja secara sah.
Malaysia bukan penandatangan Konvensyen Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1951 dan protokol 1967 yang berkaitan, bermakna pelarian memegang kad UNHCR hanya dibenarkan bekerja dalam pekerjaan rencam atau sektor tidak formal.