EAIC syor pegawai imigresen ditahan di kelab malam dikena tindakan

EAIC syor pegawai imigresen ditahan di kelab malam dikena tindakan

EAIC berkata siasatan dapati beberapa pegawai terlibat mempunyai arahan tugasan tetapi berhibur di pusat hiburan.

jabatan imigresen malaysia
EAIC akan rujuk kes kepada pihak berkuasa tatatertib Jabatan Imigresen dan JPA supaya tindakan diambil.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap 27 pegawai imigresen yang ditahan dalam serbuan narkotik di sebuah kelab malam pada April tahun lalu.

Menurut suruhanjaya itu, hasil siasatan mendapati pegawai terbabit melanggar larangan berada di kawasan seperti pusat hiburan yang boleh menimbulkan syak dan persepsi negatif terhadap organisasi.

“Selain itu, siasatan juga mendapati beberapa orang pegawai yang terlibat dalam kejadian tersebut mempunyai arahan tugasan tetapi (sebaliknya) didapati berhibur di pusat hiburan tersebut.

“Juga berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan siasatan tatatertib oleh pihak Jabatan Imigresen berhubung dengan kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan.

EAIC akan merujuk kes itu kepada pihak berkuasa tatatertib Jabatan Imigresen supaya tindakan diambil mengikut Peraturan 38 Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atas kesalahan ingkar perintah.

Pegawai yang terlibat juga akan dirujuk kepada pihak berkuasa tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan mengesyorkan hukuman tatatertib susulan kesalahan cuai dan tidak amanah dalam melaksanakan tugas, tambahnya.

Dalam pada itu, EAIC mengesyorkan Jabatan Imigresen mengeluarkan arahan pertukaran terhadap pegawai terbabit, yang telah berkhidmat di tempat sama lebih lima tahun.

Selain itu, suruhanjaya mencadangkan agar Jabatan Imigresen menyelaras dan memantau jadual penugasan serta rekod kehadiran pegawai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.